suria

Mayat Jong-nam Masih Berada Di HKL

PUTRAJAYA: Mayat lelaki Korea, Kim Jong-nam masih berada di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), demikian menurut Kementerian Kesihatan.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, mayat abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu akan diletakkan dibawah pengurusan kementeriannya sehingga menerima arahan terbaharu daripada Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri.

"Kita akan terus mengendalikan mayat tersebut sehingga penyelesaian secara menyeluruh dan holistik ditemukan.

"Saya perlu memeriksa dengan Jabatan Forensik sama ada terdapat keperluan untuk membawa mayat itu keluar tetapi setakat ini tiada perubahan dilakukan.

"Mayat (Jong-nam) masih berada di HKL," kata beliau pada sidang media di sini Selasa.

Jong-nam mati dibunuh pada 13 Februari lalu oleh dua wanita asing yang menggunakan agen saraf VX dengan menyapu bahan kimia berbahaya itu di muka mangsa.

Kejadian itu berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ketika mangsa sedang menunggu penerbangan ke Macau.

Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol seperti di dalam pasportnya, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Kim Jong-nam

Artikel Lain