suria

Dua Ditahan, Ganja Seberat 27kg Dirampas

Antara bungkusan ganja yang dirampas. fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki dan merampas 27 kilogram (kg) ganja dipercayai bernilai RM90,000 di Cheras minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata dalam tangkapan pertama, suspek berusia 25 tahun ditahan di Taman Mutiara Barat pada Khamis kira-kira pukul 2 pagi.

Beliau berkata lelaki tersebut berkelakuan mencurigakan apabila didekati sepasukan polis.

"Selepas memeriksanya, kami menjumpai 1kg ganja di dalam beg yang digalasnya," kata Chong pada sidang media di sini Selasa.

Chong berkata susulan tangkapan itu, polis dibawa ke stesen LRT Sungai Besi kira-kira pukul 6 petang hari yang sama di mana suspek kedua, lelaki berusia 47 tahun dipercayai menjadi pengedar telah ditahan.

"Kami menjumpai 5kg ganja bersama suspek," katanya.

Suspek turut membawa polis ke sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di tempat letak kereta di mana 21kg ganja telah dijumpai.

Chong berkata polis percaya ganja itu dibawa masuk dari utara untuk dijual di sekitar Lembah Klang.

Katanya, polis sedang mengenal pasti beberapa individu lain yang terlibat dalam mengedar dan membekalkan bahan terlarang itu.

ganja, PDRM, Cheras

Artikel Lain