suria

Saya Ingatkan Nazri Nak Keluar Umno - Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) dan Datuk Seri Nazri Aziz.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi respons 'nakal' terhadap dakwaan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa bekas perdana menteri itu tidak mahu bercakap dengannya semasa pertemuan mereka di Lembah Sungai Perak, Sabtu lalu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan sepatutnya memulakan perbualan kerana beliau yang ingin bertemu dengannya.

"Mengapa saya perlu tanya soalan? Dia yang mahu berjumpa dengan saya.

"Saya ingatkan dia mahu beritahu saya bahawa dia mahu keluar dari Umno," kata bekas perdana menteri itu disusuli dengan ketawa kecil.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Parlimen pada Isnin.

Nazri telah dijadual berdebat dengan Dr Mahathir di MRSM Sultan Azlan Shah yang terletak di kawasannya, Padang Rengas pada 25 Mac.

Debat itu bagaimanapun telah ditangguhkan pada 7 April selepas dihalang oleh polis atas sebab keselamatan awam.

Nazri sebelum ini berkata beliau berdiam diri dalam pertemuan itu kerana Dr Mahathir tidak mahu bercakap.

"Kamu kenal saya, saya akan menerima sebarang jemputan. Saya menunggu di MRSM Sultan Azlan Shah dari pukul 1.30 petang hingga 4 petang," kata Nazri.

Nazri pada Ahad berkata Mahathir telah mengelak daripada bertemu dengannya di MRSM, justeru beliau telah menghubungi seorang daripada pembantu Mahathir setelah mengetahui bahawa beliau berada di Lembah Sungai Perak.

"Sebab itu saya pergi ke sana," kata Nazri semasa menjawab dakwaan Dr Mahathir bahawa beliau telah berdiam diri sepanjang 30 minit semasa mereka duduk bersebelahan antara satu sama lain.

Kedua-dua mereka dilihat menikmati cendol yang dihidangkan tanpa bercakap apa-apa.

Nazri Aziz, Tun M, keluar Umno

Artikel Lain