suria

SPAD Siasat Kes Bas Ekspres Dipandu Secara Bahaya

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyiasat insiden melibatkan sebuah bas ekspres yang dirakamkan memandu secara berbahaya sepanjang Lebuh Raya Karak pada Sabtu lalu.

Video itu menunjukkan sebuah bas ekspres milik Darul Naim Express Sdn Bhd yang memandu secara berbahaya dan dipercayai cuba menghimpit sebuah kenderaan yang dinaiki tiga penumpang termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun.

Menerusi satu kenyataan yang disiarkan pada Rabu, SPAD berkata, siasatan akan dijalankan berhubung kes itu mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD).

SPAD juga telah mengambil keterangan daripada pihak yang terlibat dan menggantung permit kenderaan itu sepanjang siasatan dijalankan.

"Susulan aduan yang diterima pada Ahad, pihak Penguatkuasa SPAD mengesan pemandu terbabit, mengambil keterangannya dan menggantung permit kenderaan sepanjang siasatan.

"SPAD juga telah mengambil keterangan daripada syarikat pengendali bas Darul Naim Express pada Selasa," jelas SPAD.

SPAD berkata, jika pihak terlibat didapati bersalah, mereka akan dikenakan hukuman mengikut akta yang diperuntukkan.

Malah tegas suruhanjaya tersebut, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pemandu yang memandu secara berbahaya selain membahayakan nyawa penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Rakaman selama 51 saat itu yang disiarkan dalam laman Facebook menunjukkan pemandu terbabit menunjukkan isyarat seperti sedang marah kepada pemandu kereta.

Selain itu, kelihatan bas itu mengejar kereta terbabit dengan cara pemandu yang berbahaya dan pemandu bas berkenaan juga dipercayai cuba menghimpit pemandu kereta berkenaan.

Bas Ekspres, Pandu Laju, Karak

Artikel Lain