suria

Suspek Lari Dari Tahanan Polis Diberkas Semula

IPOH: Seorang suspek berusia 26 tahun berjaya diberkas semula selepas dua jam melarikan diri daripada tahanan polis di Kompleks Mahkamah pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, A. Kaliswaran telah melarikan diri selepas dia didakwa memiliki barang curi dan gagal menunjukkan MyKad.

Chang Keong berkata Kaliswaran digari bersama 22 tahanan lain ketika kejadian berlaku.

"Ketika kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45petang, semua 23 tahanan diiringi keluar dari lokap mahkamah menuju ke  sebuah trak polis untuk dihantar ke penjara Taiping," katanya.

Jelasnya, Kaliswaran berjaya membebaskan dirinya dan kemudian merempuh tiga pegawai polis sebelum memanjat pagar dan berlari ke dalam semak berhampiran stesen keretapi Ipoh.

Beliau berkata suspek dihantar ke penjara kerana dia tidak mampu membayar ikat jamin RM4,000 yang ditetapkan oleh mahkamah.

Tambah Chang Keong, polis masih menyiasat mengapa dia berada di sebuah sungai berhampiran mahkamah dan enggan mengulas mengenai suspek yang hanya memakai seluar dalam sahaja.

Foto yang menyerupai suspek hanya berseluar dalam telah menjadi tular di sosial media.

"Kami sedang menyiasat jika terdapat sebarang kecuaian di pihak polis," katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian oleh penjawat awam.

Artikel Lain