suria

Tiada Keperluan Kuarantin Kawasan Positif H5N1

SEGAMAT: Tiada keperluan untuk kuarantin kawasan yang positif selesema burung H5N1 buat masa ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata ini kerana sehingga sekarang masih tiada lagi kes jangkitan H5N1 kepada manusia dan Kementerian Kesihatan kini sedang berusaha untuk memastikan perkara itu tidak berlaku.

Katanya bagi merealisasikan perkara itu, kementerian kini sedang giat melaksanakan pelbagai langkah pencegahan dan memberi kesedaran terhadap pihak-pihak terlibat.

"Kita sebar maklumat bagaimana jaga kesihatan dengan pakai pakaian yang melindungi diri seperti topeng muka, apron, sarung tangan dan sebagainya serta pastikan cecair ayam itu tidak kena pada mereka yang kendalikan ayam, itu paling mustahak," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Makan Malam Mesra Pejabat Penerangan Daerah Segamat di sini yang dihadiri kira-kira 200 orang antaranya petugas media.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan hari ini dua lokasi baharu telah dikenal pasti positif H5N1 di Pasir Mas sejak semalam.

Dr Subramaniam berkata kementeriannya juga menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan terhadap mereka yang tinggal di kawasan positif wabak tersebut.

"Penduduk dan mereka yang mengendalikan ayam di kawasan tersebut boleh pergi ke klinik untuk pemeriksaan sekiranya terdapat simptom penyakit itu seperti demam atau selesema," katanya.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu panik atau khuatir tentang H5N1 kerana wabak itu kini dalam keadaan terkawal.

"Isu seperti makan ayam atau tidak, tidak jadi isu kerana ayam yang dibekalkan itu selamat, (Jabatan Perkhidmatan) Veterinar telah pastikan perkara ini," katanya.

H5N1

Artikel Lain