suria

Ibu Mangsa Mahu Lihat Wajah Anak

HULU SELANGOR: "Saya ingin lihat dan tatap sendiri wajah anak kedua saya itu," kata ibu kepada Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10, yang dihanyutkan air deras di Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini semalam.

Sehingga 7 malam tadi, Muhammad Ikhwan dan Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, iaitu murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bunga Raya 1 di sini masih belum ditemui.

Menganggap kejadian itu satu suratan takdir, Suhaila Md Sahi, 34, berkata beliau mahu anak kedua daripada lima beradik itu ditemui segera.

"Saya sendiri sedikit terkilan kerana tidak dapat meraikan ulang tahun kelahirannya pada 15 Mac lepas.

"Memang kami bercadang untuk sambut tetapi tidak sangka benda macam ini akan berlaku," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Guru Besar SK Taman Bunga Raya 1 Mohd Hasren Damiri berkata kehilangan tujuh muridnya itu merupakan tamparan besar buatnya serta guru lain.

"Saya terkejut dan kami bercadang untuk mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin pada Isnin ini untuk semua mangsa," katanya.

Mohd Hasren berkata pihaknya bercadang untuk menubuhkan tabung khas bagi membantu anggota keluarga mangsa yang terlibat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua murid SK Taman Bunga Raya 1 yang dihanyutkan air deras di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini semalam ditangguhkan pada 7 malam ini berikutan faktor cuaca.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, lapan kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di sungai itu.

Seorang daripada mereka selamat manakala lima lagi ditemukan lemas.

Lima mangsa yang meninggal dunia akibat lemas ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12.

Bukit Beruntung, Lemas

Artikel Lain