suria

RUU335: Sarawak Nyata Pendirian Pada Najib

KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyatakan pendirian berhubung usaha meminda Akta 335 Mahkamah Syariah atau Rang Undang-Undang 335 (RUU335), kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pendirian kerajaan negeri itu telah disampaikan kepada Najib selepas beliau mengadakan pertemuan dengan anggota Parlimen Sarawak bagi membincangkan hal tersebut.

"Saya telah bertemu mereka (anggota Parlimen Sarawak) dan kami memiliki pendirian tersendiri dan saya telah bercakap dengan Perdana Menteri mengenainya. Beliau sendiri akan mengumumkannya (pendirian sarawak).

"Keputusan ini bukan yang diputuskan anggota Parlimen Sarawak, tetapi pendirian Sarawak," kata beliau pada sidang akhbar selepas melancarkan Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Muara Tuang di sini pada Sabtu.

Ditanya mengenai maklumat yang disampaikan kepada Najib, Abang Johari berkata, pihaknya menyarankan agar hal (pindaan) tersebut diteliti dengan bijaksana kerana bimbang akan melibatkan hukuman yang dijatuhkan secara diskriminasi.

"Ini kerana Artikel 8 (1) menyatakan bahawa semua individu adalah sama rata di sisi undang-undang dan layak menerima perlindungan undang-undang secara adil.

"Jadi jangan wujud hukuman diskriminasi kerana kita semua mempunyai hak yang sama," katanya.

RUU335, Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain