suria

Tayangan Filem 'Beauty and The Beast' Di Malaysia Masih Jadi Teka-Teki

PETALING JAYA: Filem Walt Disney, Beauty and The Beast sepatutnya ditayangkan di pawagam dalam negara pada Khamis tetapi masih belum diketahui sama ada rakyat Malaysia berpeluang menontonnya di layar perak.

Pada Rabu, agensi berita Bloomberg melaporkan syarikat Walt Disney di Amerika Syarikat (AS) sebagai berkata ia tidak akan membenarkan suntingan ke atas filem tersebut.

"Filem ini tidak pernah dan tidak akan disunting untuk tayangan di Malaysia," kata Disney dalam satu kenyataan melalui emel kepada agensi berita itu.

Namun, ketika dihubungi, pengedar filem tempatan, The Walt Disney Co (Malaysia) Sdn Bhd berkata tarikh tayangan filem itu ditangguhkan.

"Tidak akan ada kenyataan rasmi dari Malaysia kerana pendirian kami tetap sama iaitu tayangan filem itu ditangguhkan," kata wakilnya.

Lembaga Penapisan Malaysia (LPF) berkata pada Selasa bahawa mereka memberi lampu hijau terhadap filem Beauty and the Beast ditayangkan di Malaysia dengan sedikit suntingan.

"Filem itu diluluskan dengan klasifikasi filem P13 iaitu bimbingan ibu bapa untuk kanak-kanak bawah umur 13 tahun dengan sedikit suntingan," kata Pengerusi LPF Datuk Abdul Halim Abdul Hamid kepada The Star pada Isnin.

Beliau berkata suntingan kecil akan dilakukan pada watak homoseksual dalam filem tersebut.

Dibintangi Emma Watson sebagai Belle, Dan Stevens sebagai Beast dan Luke Evans sebagai Gaston, Beauty and the Beast adalah sebuah filem animasi klasik terbitan Disney, yang menjadi filem animasi pertama yang dicalonkan untuk kategori Filem Terbaik Anugerah Oscar pada 1991.

Filem itu terpalit dengan kontroversi apabila pengarahnya Bill Condon memberitahu majalah Attitude di United Kingdom bahawa karektor Le Fou dilakonkan oleh Josh Gad adalah seorang gay.

"Le Fou adalah seseorang yang pada satu hari mahu menjadi Gaston dan pada hari lain mahu mencium Gaston.

"Dia keliru tentang apa yang dia mahu. Ada seseorang yang baru sedar bahawa dia mempunyai perasaan ini," kata Condon.

'Adegan gay' itu bagaimanapun telah menjadi kontroversi.

Rusia telah mengenakan sekatan ke atas filem ini dengan kanak-kanak di bawah umur 16 dilarang daripada menontonnya.

Pawagam pandu lalu di Alabama, Amerika Syarikat juga mengharamkan filem ditayangkan kerana watak gay.

Artikel Berikut

Artikel Lain