suria

Cadangan Tarik Balik Subsidi Jika Harga Minyak Jatuh Perlu Diteliti - Hamzah

KUALA LUMPUR: Cadangan agar kerajaan menarik balik semua subsidi jika harga minyak mentah dunia jatuh bawah paras AS$40 setong perlu dikaji secara teliti, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau juga berkata berkata cadangan yang diutarakan Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa itu adalah atas kapasitinya sebagai individu.

"Itu cadangan beliau. Jadi kita akan buat kajian dahulu," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 tiga agensi di bawah kementeriannya, di sini Khamis.

Annuar dilaporkan membuat cadangan itu di Arau, Perlis pada Ahad lepas semasa menjawab soalan seorang pelajar universiti yang hadir dalam siri jelajah beliau bagi memberi penerangan isu semasa kepada rakyat.

Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah menyeru warga kerja tiga agensi berkenaan agar menerapkan budaya kerja disiplin, tanggungjawab, integriti serta menjaga kerahsiaan.

"Kita mesti memiliki jati diri sebagai anggota perkhidmatan awam yang menjalankan tugas dengan jujur dan telus," katanya.

Pada majlis itu, 107 penerima daripada tiga agensi di bawah kementerian iaitu 68 dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia, 35 warga Perbadanan Harta Intelek Malaysia) dan empat penjawat di Suruhanjaya Persaingan Malaysia menerima anugerah perkhidmatan cemerlang masing-masing. - BERNAMA


subsidi minyak, KPDNKK

Artikel Lain