suria

Perbalahan Dalam Keluarga Punca Utama Kes Dera Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Perbalahan dalam keluarga merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kes penderaan kanak-kanak di negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari 2012 hingga 2016, sebanyak 3,318 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan berlaku dalam keluarga yang mempunyai krisis rumah tangga.

Selain itu, katanya, pengabaian dan kecuaian ibu bapa dan penjaga sama ada secara sengaja mahupun tidak turut menyumbang kepada kadar kes penderaan kanak-kanak.

Menurutnya, statistik JKM dalam tempoh lima tahun (2012-2016) mendapati sebanyak 2,419 kes dilaporkan disebabkan pengabaian dan kecuaian ibu bapa.

"Ini termasuk kes kanak-kanak ditinggalkan tanpa pengawasan, ditinggalkan dalam kereta, terjatuh dari escalator, terjatuh dari bangunan dan membiar atau memberi kepercayaan kepada kanak-kanak keluar ke kedai atau pasar malam untuk beli barang keperluan secara bersendirian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai jenis dan faktor penderaan kanak-kanak dari 2015 hingga kini. - BERNAMA

perbalahan keluarga, kes dera

Artikel Lain