suria

Bapa Dan Teman Wanita Bunuh Anak Dihukum Mati

Mohd Imran (kanan) dan rakan wanitanya Norhidayah diiringi keluar oleh anggota polis selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi pada Rabu kerana membunuh anaknya Muhammad Aqeef Adam, 3, pada 19 Disember 2013. Foto Bernama

JOHOR BARU: Seorang bapa dan teman wanitanya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini Rabu atas pertuduhan membunuh anak lelakinya yang berusia tiga tahun, di sebuah apartmen di Kulai, empat tahun lepas.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu terhadap Mohd Imran Mohd Ramly, 34, dan Norhidayah Mamid, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Pasangan itu didakwa membunuh Muhammad Aqeef Adam Mohd Imran di sebuah apartmen di Kulai antara 12 malam 16 Dis 2013 dan 6.45 petang, 19 Disember 2013.

Mohd Imran yang merupakan bekas pengurus sebuah syarikat dan Norhidayah yang tidak bekerja dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sequerah dalam penghakimannya berkata walaupun tiada saksi di lokasi kejadian, keputusan boleh dibuat berdasarkan keterangan mengikut keadaan.

"Pakar patologi hospital mengesahkan terdapat kesan pukulan objek tumpul di kepala mangsa secara berterusan selama tiga bulan di mana sepanjang tempoh tersebut, mangsa berada di bawah jagaan kedua-dua tertuduh," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Iffa Zarilla Abd Rahman dan seramai 13 saksi pihak pendakwaan dan empat saksi pihak pembelaan dikemukakan sepanjang perbicaraan yang bermula 12 Januari tahun lepas.

Mohd Imran yang diwakili peguam Normah Mohd Desa kelihatan tenang selepas keputusan dibacakan terhadap mereka manakala Norhidayah yang diwakili peguam Shahruddin Osman dilihat mengalirkan air mata.

Kedua-dua mereka yang dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka telah memilih memberi keterangan secara bersumpah. - Bernama

Artikel Lain