suria

Pakatan Harapan Sambut Baik Hasrat PPBM - Wan Azizah

PETALING JAYA: Pakatan Harapan menyambut baik hasrat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk menyertai gabungan pembangkang, kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar).

Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan pada Rabu menjemput pemimpin PPBM untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR dan membincangkan gabungan berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai hasrat Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa untuk menyertai Pakatan.

"Saya akan bincang dengan pemimpin-pemimpin parti masing-masing dalam Pakatan Harapan mengenai usaha dan langkah yang boleh diambil untuk memperkukuhkan gabungan politik ini (antara Pakatan Harapan dan PPBM).

"Saya juga akan menjemput pemimpin-pemimpin tertinggi PPBM untuk duduk bersama pemimpin-pemimpin parti dan membincangkan strategi politik yang boleh menyelamatkan Malaysia daripada rejim kleptokratik," katanya.

Mengenai hasrat PPBM untuk menyertai Pakatan Harapan, Dr Mahathir turut memberitahu bahawa partinya mahu gabungan itu dijenamakan semula.

Beliau berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha mereka bagi memastikan pertembungan dua penjuru dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pakatan Harapan kini dibarisi DAP, PKR dan Amanah.

Artikel Lain