suria

50 Rakyat Korea Utara Akan Dihantar Pulang - TPM

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 rakyat Korea Utara di Sarawak yang tinggal di negara ini lebih daripada tempoh yang dibenarkan, akan dihantar pulang dalam waktu terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita akan menghantar rakyat Korea Utara yang bekerja di Sarawak dan tinggal melebihi tempoh visa, pulang ke Pyongyang.

"Mereka yang masih memiliki vias yang sah, boleh terus tinggal di sini," kata beliau kepada pemberita di Parlimen, Selasa.

Menurut Ahmad Zahid, terdapat 315 rakyat Korea Utara di Malaysia dan rundingan dengan Pyongyang masih diteruskan untuk membawa pulang rakyat negara ini yang berada di republik itu.

Selain itu, beliau berkata, terdapat 191 rakyat Korea Utara diletakkan di bawah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara tegang susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Pyongyang, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Korea Utara mengkritik cara Malaysia menjalankan siasatan kes pembunuhan itu dan menuduh Putrajaya bersetongkol dengan negara musuh.

Ketegangan semakin memuncak apabila Pyongyang melarang 11 rakyat Malaysia meninggalkan negara itu tetapi kemudiaannya membenarkan dua daripada mereka keluar kerana terlibat dalam Progam Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia turut mengeluarkan larangan sama ke atas 315 rakyat Korea Utara di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain