suria

Dua Beradik Akan Dihukum Gantung Jumaat

PETALING JAYA: Dua beradik yang menerima penangguhan saat akhir bagi hukuman gantung akan berdepan dengan hukuman itu Jumaat ini.

Ahli keluarga Rames dan Suthar Batumalai menerima surat pada Isnin bagi memaklumkan mereka bahawa pelaksanaan hukuman akan dilakukan dan meminta supaya datang ke Penjara Kajang buat kali terakhir pada Selasa.

Dua beradik itu dijatuhi hukuman gantung pada April 2010 di bawah Seksyen 302 Kanun Kesekesaan selepas mereka didapati bersalah membunuh Krishnan Raman pada 4 Februari 2006.

Rames dan Suthar sentiasa menegaskan mereka tidak bersalah.

"Ia merupakan langkah yang mengejutkan memandangkan terdapat permohonan pengampunan sementara menunggu keputusan Lembaga Pengampunan Negeri Sembilan.

"Rames dan Suthar tidak seharusnya dihukum gantung selagi proses rayuan belum selesai," kata Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia (AIM), Shamini Darshni Kaliemuthu dalam satu kenyataan pada Isnin malam.

Permohonan pengampunan dikemukakan oleh peguam mereka, Haresh Mahadevan dan co pada 23 Februari termasuk akuan bersumpah daripada isteri si mati, yang membuat rayuan kepada Lembaga Pengampunan supaya tidak menghukum gantung dua beradik itu, dan sebaliknya dibenarkan untuk hukuman penjara seumur hidup.

"Jika keluarga mangsa telah menghalang pelaksanaan hukuman itu, Lembaga Pengampunan seharusnya mempertimbangkannya dan membolehkan ada jalan untuk ditangani sebelum 'mengambil nyawa' mereka," kata Shamini.

"Hukuman mati adalah hukuman kuno yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ia tidak mempunyai tempat dalam dunia ini yang percaya kepada hak asasi dan maruah manusia," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain