suria

Rundingan Pyongyang-Malaysia Masih Diteruskan - Apandi Ali

KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan rundingan dengan Korea Utara untuk membebaskan sembilan rakyat Malaysia yang masih terkandas di negara itu, kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa isu antara kedua-dua negara amat sensitif dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razah telah mengarahkan hanya beliau dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi boleh mengulas tentang perkara itu kepada media.

"Kita tidak mahu rundingan yang masih berlangsung ini terjejas," kata Mohamed Apandi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Kolokium Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Berhubung Kehakiman Hak Asasi Manusia yang berkaitan dengan pelaksanaan undang-undang hak asasi di peringkat antarabangsa.

Hubungan antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tegang susulan kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Korea Utara mengkritik cara Malaysia mengendalikan kes itu dan menuduh Kuala Lumpur terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Pyongyang.

Malah ketegangan semakin memuncak pada 7 Mac lalu apabila Korea Utara melarang 11 rakyat Malaysia meninggalkan negara tersebut.

Dua daripada mereka yang berkhidmat untuk Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Stella Lim dan Nyanaprakash Muniandy bagaimanapun dibenarkan pulang dan tiba di Beijing pada 9 Mac lalu.

Malaysia turut mengeluarkan larangan yang sama ke atas 315 rakyat Korea Utara yang berada di negara ini.

Sementara itu, Mohamed Apandi berkata, situasi positif menunjukkan rundingan kedua-dua negara masih diteruskan.

"Apa yang pasti, kedua-dua pihak setuju untuk berunding," katanya.

Artikel Lain