suria

Malaysia Lemah Jika Dipimpin Generasi Tidak Berwawasan

Najib Tun Razak ketika hadir pada Program TN50 di Universiti Malaysia Kelantan, Pengkalan Chepa hari ini. Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Malaysia Datuk Seri Mustapa Mohamed. Foto: Bernama

KOTA BHARU: Malaysia akan menjadi lemah dan tidak berdaya saing jika dipimpin generasi yang tidak berwawasan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.  

Beliau berkata Malaysia memerlukan generasi yang benar-benar mempunyai kesungguhan untuk merencana masa depan negara yang lebih cemerlang. 

"Saya sentiasa ingat apa Imam Al-Ghazali selalu sebut, jika ingin tengok generasi akan datang, tengoklah generasi hari ini. 

"Jadi, anak-anak kita hari ini perlu mendapat didikan, ilmu, pengetahuan, akhlak, keazaman, dan daya juang yang utuh. Kerana itu kita buat dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50)," katanya. 

Najib berkata demikian pada dialog TN50 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa sempena lawatan dua hari beliau ke negeri ini bermula Sabtu.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ketua Perhubungan UMNO negeri, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan para pelajar sekolah, penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta di Kelantan.

Najib berkata melalui TN50, generasi muda kini yang akan menentukan wawasan, hala tuju dan rupa bentuk negara yang akan datang. 

Menurutnya semua yang dirancang kerajaan mampu dicapai dan direalisasikan jika Malaysia diwarisi generasi yang mempunyai cita-cita besar dan berani menyumbang kepada kejayaan akan datang.

"Kerajaan akan memastikan pendidikan negara berada di tahap terbaik dan berkualiti supaya mampu melahirkan generasi dan individu yang lebih berpendidikan dan berdaya saing.

"Saya ingin kongsikan satu laporan dari Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) bahawa mereka yang berada di sekolah rendah ketika ini akan mengisi 60 hingga 65 peratus pekerjaan yang belum pun wujud.

"Dunia pada 2050 akan berbeza dan berubah dengan pantas sekali. Ini bermakna, kita perlu pastikan jenis pendidikan yang mampu melahirkan individu yang mempunyai adaptasi yang lebih anjal pada hari ini," kata beliau.  

Kira-kira 1,500 peserta menghadiri program tersebut yang julung kali diadakan di Kelantan dengan bertukar pandangan berkaitan isu pendidikan,wanita, sukan dan peluang pekerjaan.

Pada akhir dialog itu, para peserta mengambil kesempatan bergambar dengan Najib sebelum beliau mengakhiri lawatannya ke Kelantan dan pulang ke Kuala Lumpur kira-kira 6.30 petang Ahad.

TN50, yang digagaskan Najib semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 21 Oktober tahun lepas, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020. -Bernama

TN50, Datuk Seri Najib Tun Razak

Artikel Lain