Felda Kenal Pasti Jumlah Sebenar Hutang Peneroka - Semasa | mStar

Felda Kenal Pasti Jumlah Sebenar Hutang Peneroka

JEMPOL: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan mengenal pasti jumlah sebenar hutang setiap peneroka yang dibuat dengan Felda bagi mengelakkan sebarang pertikaian terhadap penyata hutang yang dikemukakan kepada mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata jumlah hutang para peneroka perlu dimuktamadkan bagi membolehkan pengumuman beberapa penambahbaikan Felda oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, akan datang. 

"Dalam keadaan Felda mahu kukuhkan prosedur kewangan, kami tidak mahu timbul pertikaian terhadap penyata hutang yang kami kemukakan kepada peneroka yang tidak setuju dengan jumlah hutang yang terdapat dalam penyata tersebut. 

"Kami sedang buat, setiap satu kawasan rancangan kami minta semak slip pendapatan dan masing-masing (peneroka) mesti setuju berapa jumlah sebenar hutang mereka. 

"Jumlah hutang perlulah dipersetujui oleh peneroka dan Felda sendiri dan jika mereka tidak setuju mereka perlu datang ke pengurusan wilayah masing-masing untuk berbincang dan kemukakan bukti bagi setiap pertikaian yang dibangkitkan,"katanya.

Razali berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian serentak Persidangan Tahunan Umno Cawangan Bahagian Jempol bagi tahun 2017 disini, Ahad.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Jempol Datuk Mohd Salim Mohd Sharif.

Mengulas lanjut, Razali berkata terdapat dua jenis hutang yang dibuat oleh peneroka dengan Felda iaitu hutang operasi dan hutang sosial. 

"Hutang operasi ialah hutang sara hidup yang dibuat ketika pokok ditebang dan ditanam semula, ketika itu mereka tidak mempunyai hasil dan terpaksa buat pinjaman. Hutang sosial ialah hutang membeli komputer, besarkan rumah,pendidikan dan sebagainya," katanya.

Razali berkata usaha Felda untuk terus meningkatkan kesejahteraan para peneroka tidak pernah terhenti bagaimanapun isu berbangkit perlu diselesaikan segera. 

"Kami akan adakan mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk suku tahun pertama dijangka bulan depan dan saya jangka isu berbangkit mengenai jumlah sebenar hutang peneroka dapat diselesaikan sebelum mesyuarat diadakan,"katanya. 

Terdahulu, Razali dalam ucapannya berkata Felda ketika ini menanggung sebanyak 1.2 bilion hutang rumah dan hutang sosial yang dibuat para peneroka dengan Felda.  -Bernama

Hutang Peneroka , Felda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Artikel Lain