Johor Tubuh Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan - Semasa | mStar

Johor Tubuh Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan

Gambar hiasan.

ISKANDAR PUTERI: Sebuah Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan akan ditubuhkan di Johor dalam tempoh dua minggu lagi bagi mengkaji prosedur berhubung pengagihan rumah dan hartanah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Datuk Md Jais Sarday berkata, jawatankuasa berkenaan akan dianggotai bekas exco, bekas Setiausaha Kerajaan Johor, bekas pegawai kerajaan negeri dan wakil pemaju.

Md Jais yang akan memangku jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor berkuat kuasa Ahad ini berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan ketua jabatan dan agensi berkaitan bagi mendapatkan taklimat berhubung pelbagai perkara berkaitan perumahan.

"Bagi saya dua minggu, saya mahu berjumpa dengan semua ketua jabatan dan agensi berkaitan perumahan dan akan menubuhkan Jawatankuasa Panel Penasihat Perumahan bagi meneliti isu di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini Khamis.

Menurutnya, antara nama yang dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa berkenaan adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Obet Tawil dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil.

Md Jais berkata selain jawatankuasa itu, beliau juga bercadang untuk mewujudkan satu saluran aduan dan pertanyaan khas untuk perumahan menerusi aplikasi WhatsApp dalam tempoh dua minggu ini untuk rakyat Johor menggunakannya sebagai medan penghubung bertanyakan segala isu dan permasalahan perumahan. - Bernama


Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

MMA cabar ego Zul Ariffin