suria

Suspek Kes Culik Paderi Ditahan

PETALING JAYA: Suspek kes penculikan paderi Raymond Koh Keng Joo ditahan polis, awal pagi Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di Ampang pada kira-kira pukul 3.30 pagi Khamis.

"Suspek telah menghubungi ahli keluarga mangsa sehari sebelum tangkapan dibuat dan meminta sejumlah wang untuk pembebasan paderi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

"Justeri, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kes ini agar menyalurkannya kepada pihak polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini," kata Abdul Samah.

Keng Joo diculik dari keretanya oleh sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, pada 13 Februari lalu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipercayai merakamkan insiden itu, menunjukkan ia membabitkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga kenderaan utiliti sukan (SUV).

Raymond Koh Keng Joo

Artikel Lain