suria

Mahkamah Tolak Rayuan Bekas Isteri Allahyarham Ghafar Baba

D. Heryati Abdul Rahim.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Rabu menolak rayuan bekas isteri Allahyarham Tun Ghafar Baba berhubung saman beliau terhadap pasangan suami isteri yang didakwanya melanggari kontrak berhubung penjualan sebidang tanah di Jelebu, Negeri Sembilan.

Keputusan itu dicapai oleh panel tiga anggota Hakim Mahkaman Rayuan terdiri daripada Datuk Rohana Yusuf, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Rohana, yang mempengerusikan panel itu, berkata mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan yang boleh dirayu dalam asas penghakiman hakim Mahkamah Tinggi untuk mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

"Kami bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Tinggi dan mengesahkan perkara sama," katanya ketika menolak rayuan itu dengan kos RM10,000, yang perlu dibayar oleh D. Heryati Abdul Rahim.

Heryati, 55, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April tahun lepas dalam menolak samannya terhadap pemaju Tan Sri Lau Ban Tin dan isterinya, Puan Sri Mary Lee Siew Cheng, kerana didakwa melanggari kontrak, untuk mendapatkan semula sebidang tanah yang didakwanya bernilai RM1 juta.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Keng berkata saman Heryati itu difailkan di luar tempoh masa, sedangkan ia sepatutnya difailkan dalam tempoh enam tahun dari tarikh kontrak yang dikatakan dilanggar pada 2005 dan bukannya pada 2015.

Dalam saman yang difailkan pada 5 Februari 2015, Heryati mendakwa pasangan suami isteri itu gagal untuk memindahkan pemilikan lapan hektar tanah di Jelebu kepadanya berdasarkan perjanjian pada 20 Jun 2000.

Beliau mendakwa bahawa pada masa itu, beliau masih isteri kepada bekas timbalan Perdana Menteri dan memiliki bersama saham-saham dalam syarikat Zamrudvest Sdn Bhd, yang mengendalikan francais di bawah 'EON Dealers and Franchise'.

Beliau mendakwa bahawa sekitar tahun 2000, beliau dan Ghafar memutuskan untuk menjual perniagaan itu kepada defendan pada harga RM300,000.

Heryati mendakwa transaksi itu tidak termasuk penjualan tanah di Jelebu (dimiliki oleh syarikat), dan bahawa pemilikan sepatutnya dipindahkan kepada beliau sebaik sahaja geran individu dikeluarkan.

Beliau mendakwa bahawa berdasarkan rekod rasmi pejabat tanah, tanah itu dipindahkan kepada Lau pada 19 Februari 2004, dan pada 16 April, 2013, kepada Tengku Ramli Tengku Mohd Kamil.

Dalam afidavit jawapan yang difailkan pada 20 April 2015, kedua-dua defendan menyatakan bahawa Heryati telah memfailkan permohonan melebihi had masa dan Heryati perlu membuktikan kedudukan beliau dalam syarikat tersebut dahulu sebelum membuat tuntutan.

Heryati diwakili peguam Kevin Mahendran manakala peguam Low Peck Lim mewakili pasangan itu. - BERNAMA

Artikel Lain