suria

Dua Anggota, Seorang Pesara Polis Didakwa Terima Suapan

Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Dua anggota dan seorang pesara polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Rabu, atas dakwaan secara bersama menerima rasuah berjumlah RM5,000 daripada seorang lelaki, dua tahun lepas.

Sarjan Azahar Adon, 56; Koperal Rosli Bali, 55; dan pesara berpangkat koperal Yusof Ali, 61, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Asmadi Hussin.

Ketiga-tiga tertuduh yang masih dan pernah bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, didakwa memperoleh wang itu daripada Mohd Rizal Jantan melalui seorang wanita, Mariani Ismon, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Mohd Rizal yang disyaki memiliki dan mengedar dadah.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama di perkarangan stesen minyak Petronas di Km 2, Lebuh Raya Damansara-Puchong kira-kira 5 petang pada 22 April 2015.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Hakim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin masing-masing selain perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shah Alam pada Isnin pertama setiap bulan.

Beliau menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamed Heikal Ismail manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri. - BERNAMA

suapan, anggota polis, pesara

Artikel Lain