suria

Pemandu Teksi Bantah Kerjasama Uber

Zailaini Isa (tengah) berucap kepada para pemandu teksi sebelum menyerahkan memorandum bantahan kerjasama antara Gabungan Persatuan dan Syarikat Teksi (GPST) Semenanjung Malaysia dan Uber pada Selasa. Foto: Bernama

PETALING JAYA: Kira-kira 100 pemandu teksi membantah kerjasama Gabungan Persatuan dan Syarikat-syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) dengan Uber Malaysia menerusi penggunaan aplikasi Uber dalam setiap kenderaan itu.

Bantahan tersebut dibuat di hadapan Kelab Sunway Lagoon di sini, berikutan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak itu dijadualkan berlangsung di lokasi berkenaan pada Selasa.

Majlis itu, bagaimanapun ditunda pada tarikh yang belum ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isa Usuludin berkata beliau kesal kerana tiada perbincangan dibuat dengan pemandu teksi sebelum GPST menguar-uarkan kerjasama itu.

"Semua pelaksanaan ini melibatkan kerja dan periuk nasi kami, kenapa tidak bertanya dan menerangkan dulu kepada kami sebelum membuat apa-apa keputusan,"katanya kepada pemberita, Selasa.  

Sehubungan itu, katanya kumpulan itu menyerahkan memorandum kepada GPST bagi menggesa persatuan itu menghentikan kerjasama tersebut selain menuntut satu sesi perbincangan dengan wakil-wakil persatuan teksi seluruh Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pemilik dan Pemandu Teksi India (Wilayah Persekutuan dan Selangor) S. Balakrishnan berkata penerangan yang jelas perlu diberi kepada semua pemandu teksi dalam melakukan sebarang pelaksanaan berkaitan pemandu teksi dalam memastikan ia tidak berat sebelah. 

"Terangkan kepada kami dengan jelas berapa komisen, potongan dan prosedur lain kerana kami yang perlu bawa teksi, bukannya mereka buat keputusan sendiri tanpa menghormati pemandu teksi.

"Status operasi Uber dan Grabcar sendiri pun belum jelas (belum diluluskan Kabinet)," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan GPST yang menaungi beberapa syarikat teksi utama di negara ini, memulakan kerjasama dengan Uber Malaysia yang menyaksikan penggunaan aplikasi Uber membabitkan teksi gabungan itu secara berperingkat. 

Pada Ogos 2016, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyarankan semua perkhidmatan teksi menggunakan sistem e-hailing (e-panggilan) seperti Uber dan Grabcar sebagai inisiatif baharu menerusi Program Transformasi Industri Teksi (TITP).  -Bernama

Pemandu Teksi, Uber

Artikel Lain