suria

China Perantaraan Terbaik Kemelut Malaysia-Korea Utara

KUALA LUMPUR: Krisis Malaysia dan Korea Utara sejak berlakunya kes pembunuhan Kim Chol, yang dilaporkan meluas sebagai abang kepada pemimpin Korea Utara, kini dilihat memerlukan negara perantara bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

Menurut pakar geopolitik dan undang-undang antarabangsa, China dilihat negara terbaik kerana mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua negara.

Pakar geopolitik Profesor Dr Azmi Hassan berkata hubungan kedua-dua negara semakin tegang berikutan Pyongyang terus mengambil pelbagai tindakan yang memburukkan keadaan ketika Malaysia sedang mencari kebenaran dalam menyelesaikan kes pembunuhan Kim Chol.

"Malaysia boleh merujuk kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) tetapi ia akan mengambil masa yang lama dan Korea Utara tentu sekali tidak akan menghiraukan sebarang tekanan daripada mereka.

"Jadi opsyen terbaik ialah menggunakan hubungan rapat China dengan Korea Utara untuk memberitahu republik itu jika sikap mereka terhadap Malaysia berterusan, ia mungkin akan memberi peluang kepada seteru mereka seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan untuk campur tangan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Menurutnya Beijing mempunyai pengaruh yang sangat kuat ke atas Pyongyang dan Beijing juga mempercayai Kuala Lumpur dan ini menjadikan kuasa besar itu pilihan terbaik menyelesaikan kemelut antara dua negara.

Hubungan diplomatik Malaysia dan Korea Utara mula terjalin pada 30 Jun 1973,dan selama 44 tahun Malaysia kekal menjadi satu daripada beberapa rakan dagangan kepada Pyongyang yang diasingkan komuniti antarabangsa berikutan program nuklear dan peluru berpandunya. 

Namun bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz semalam berkata hubungan tegang itu tidak akan menjejaskan ekonomi Malaysia kerana Korea Utara bukan rakan dagang atau rakan kongsi pelaburan utama.

Malaysia telah menubuhkan kedutaannya di Pyongyang pada 28 Februari 2004 danmenjadi negara pertama di dunia yang dibenarkan mengunjung ke negara itu tanpa visa. 

Selain itu, kedua-dua negara turut meningkatkan kerjasama dalam pertukaran maklumat yang berkaitan pertukaran berita, dokumentari dan program televisyen termasuklah program pertukaran berita antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Pada 2007, Perdana Menteri Korea Utara Kim Yong-il ketika itu telah melawat Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan persahabatan antara kedua-duanegara.

Namun sejak 13 Feb selepas berlakunya kes pembunuhan Kim Chol, hubungan kedua-dua negara mula dingin dan hari ini hubungan Malaysia dan Korea semakin tegang apabila Korea Utara menjadikan rakyat Malaysia di negara itu sebagai tebusan.

Sejauh mana tindakan Korea Utara seterusnya? Bagi Azmi, beliau tidak menjangkakan Korea Utara akan melibatkan ketenteraan terhadap Malaysia.

"Korea Utara tidak akan bertindak sehingga melibatkan ketenteraan. Mereka tahu siapa musuh sebenar mereka dan Malaysia bukan musuh mereka.

"Lagipun, Malaysia bukan hendak bermusuh dengan mereka, Malaysia hanya mahu mencari penyelesaian dan kebenaran dalam siasatan kes bunuh Kim Chol," katanya.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Mohd Yazid Zul Kepli berkata tindak balas Malaysia menyekat rakyat Korea Utara meninggalkan negara ini tidak menyalahi undang-undang antarabangsa.

Menurutnya, ia berdasarkan satu konsep di bawah undang-undang antarabangsa di mana sesebuah negara itu boleh membuat tindakan yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa jika negara lain yang memulakannya dahulu.

"Contohnya jika sebuah negara jiran merampas harta milik Malaysia di negara mereka, Malaysia boleh merampas harta negara jiran itu yang berada di Malaysia yang mempunyai nilai yang sama," katanya.

Malaysia dan Korea Utara dijadualkan 'bertembung' pada pusingan kelayakan bola sepak Piala Asia pada 28 Mac ini di Pyongyang dan telah memohon perlawanan itu diadakan di gelanggang berkecuali. Mungkinkah gelanggang terbaik adalah di Beijing? -Bernama

Korea Utara, China, Beijing

Artikel Lain