suria

"Hubungan Malaysia-Korea Utara Boleh Tergugat"

Kang Chol diberi kawalan ketat oleh pihak keselamatan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabagsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 4.40 petang untuk meninggalkan Malaysia, Isnin. Foto: Bernama

PETALING JAYA: Duta Korea Utara, Kang Chol yang diisytiharkan persona non grata mendakwa tindakan Malaysia dalam mengendalikan kes pembunuhan Kim Jong-nam boleh menggugat hubungan kedua negara.

"Saya bimbang langkah ekstrem yang diambil Malaysia akan membawa kemudaratan terhadap hubungan baik yang terjalin lebih daripada 40 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang Isnin.

Pengusiran Kang Chol itu dibuat selepas gagal ke Wisma Putra pada Sabtu, selain enggan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis berikutan dakwaan negatif yang dibuatnya terhadap Malaysia berhubung siasatan kes pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu.

Selepas diberi tempoh 48 jam yang berakhir pukul 6 petang Isnin, Kang Chol menaiki penerbangan MH360 ke Beijing jam 6.25 petang untuk kembali ke Pyongyang.

"Saya meninggalkan negara (Malaysia) hari ini kerana kerajaan Malaysia menyenaraikan saya sebagai persona nan grata selepas apa yang dikatakan ketika sidang media pada 17 dan 20 Februari lalu.

"Kenyataan  itu menggambarkan pendirian saya sebagai duta Korea Utara ke Malaysia terhadap siasatan kes yang dijalankan polis Malaysia.

"Mereka telah menjalankan bedah siasat tanpa persetujuan dan kehadiran kedutaan Korea Utara, dan turut menangkap warga negara saya tanpa sebarang bukti jelas yang menunjukkan terlibat dalam kejadian ini," katanya.






Kang Chol, Korea Utara

Artikel Lain