suria

Hubungan Malaysia-Korea Utara Tidak Lagi Sama - Reezal Merican

KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Utara tidak lagi sama seperti sebelum pembunuhan Kim Jong-nam, bulan lalu, kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Timbalan Menteri Luar itu berkata, insiden itu telah memberi kesan kepada kedua-dua negara.

"Keadaan tidak lagi sama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perasmian sidang Parlimen ke-13 di sini, Isnin.

Reezal ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula hubungan diplomatik dengan Korea Utara selepas dutanya, Kang Chol diisytiharkan sebagai persona non grata pada Sabtu dan diminta meninggalkan negara ini dalam masa 48 jam.

Kang Chol diminta ke Wisma Putra pada pukul 6 petang, Sabtu tetapi gagal berbuat demikian.

Kerajaan Malaysia juga menuntut permohonan maaf bertulis daripada Korea Utara kerana tuduhan yang dibuat dutanya mengenai siasatan pembunuhan Jong-nam di KLIA2 pada 13 Februari lalu.

Ditanya sama ada Kang Chol tidak akan berdepan sebarang masalah ke KLIA nanti, Reezal Merican berkata:"Kita tunggu sehingga tempoh 48 jam itu berakhir.

Beliau berkata, Wisma Putra mematuhi Konvensyen Vienna dan perundangan berkaitan melibatkan isu Kang Chol.

Jong-nam dibunuh dua wanita dipercayai menggunakan agen saraf VX ketika menunggu pesawat ke Macau di KLIA2 pada 13 Februari lalu.

Pada 1 Mac, rakyat Vietnam, Doan Thi Huong dan warga Indonesia, Siti Aisyah telah didakwa kerana membunuh.

Artikel Lain