suria

Sudah Merokok Seawal 10 Tahun - Tinjauan KKM

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Tinjauan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan dalam setiap lima pelajar, seorang daripada mereka mula mula berjinak-jinak dengan rokok sejak berusia 10 tahun.

Tabiat itu mudah dipuaskan terutamanya apabila rokok secara terang-terangan dijual kepada pelajar dengan sedikit atau tiada penguatkuasaan terhadap peniaga tidak bertanggungjawab.

Lebih separuh daripada pelajar yang mengambil bahagian dalam tinjauan baru-baru ini memperoleh rokok dengan mudah dari pasar raya, kedai runcit dan gerai tepi jalan.

Tinjauan Tembakau dan Rokok Elektronik di kalangan Remaja Malaysia 2016 (Tecma) menunjukkan empat dalam lima remaja mengetahui tabiat merokok oleh sesiapa yang berumur di bawah 18 tahun adalah satu kesalahan.

Lebih separuh berkata mereka tidak dihalang daripada membeli produk tembakau.

"Lebih daripada satu dalam lima remaja lelaki menghisap rokok. Dan 36.8% daripada mereka merokok dua hingga lima batang rokok sehari.

Diterbitkan portal Institut Kesihatan Awam (Kementerian Kesihatan) pada 21 Februari lalu, Tecma merupakan kajian kebangsaan pertama untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai tembakau, e-rokok dan penggunaan vape di kalangan rakyat Malaysia berusia antara 10 dan 19 tahun.

Sejumlah 14,833 pelajar dari 138 sekolah di 15 negeri menyertai tinjauan tersebut.

Walaupun hampir semua mengetahui bahawa tabiat merokok membahayakan kesihatan, ia satu keadaan yang perlu diambil perhatian dengan seorang dalam 10 remaja tidak merokok berkemungkinan mencuba tabiat itu pada masa hadapan.

Menurut kajian itu, golongan tidak merokok terdedah kepada asap rokok terutamanya di hentian Rehat dan Rawat (RnR), dalam pengangkutan awam selain kenderaan ibu bapa dan penjaga.

Mengenai e-rokok dan vape, kajian itu mendapati kebanyakan pelajar mengetahui mengenai perkara itu dengan seorang daripada lima responden telah mencubanya.

"Teknologi ini berkembang dengan pesat manakala objektif tetap sama - untuk meningkatkan ketagihan nikotin di kalangan pengguna."

Tecma mengesyorkan penggunaan peranti tersebut menyalahi undang-undang bagi pengguna di bawah umur sama ada ia menggandungi nikotin atau tidak.

Pada bulan lalu, Kementerian Kesihatan mewartakan penambahan kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) Pindaan 2017.

Di bawah peraturan itu, perbuatan merokok tidak lagi dibenarkan di tapak perkhemahan, gelanggang permainan, taman permainan dan taman awam, lokasi popular di kalangan remaja.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata satu mesyuarat di peringkat kementerian akan diadakan bagi membincangkan kajian tersebut.

Menyifatkan hasil kajian itu sebagai amat mengejutkan, beliau berkata sesuatu perlu dilakukan untuk menangani isu tabiat merokok di kalangan pelajar.

"Kita mesti mempergiatkan kempen anti-merokok di sekolah. Sementara itu pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan mereka. Kita tidak boleh membenarkan penjualan rokok kepada pelajar," katanya.

Sementara itu, pakar ketagihan nikotin Universiti Malaya Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin turut melahirkan rasa bimbang mengenai hasil penemuan tersebut.

"Ia tidak lagi menjadi rahsia. Walaupun dengan undang-undang baharu untuk meningkatkan kawasan bebas asap rokok, isu utama adalah penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata, tabiat merokok di kalangan pelajar merupakan satu penyakit kronik.



Artikel Lain