suria

Kes Rasuah Sektor Awam Harus Jadi Peringatan - JPA

Zainal Rahim Seman.

SHAH ALAM: Pembongkaran kes rasuah melibatkan penjawat awam sepatutnya dijadikan peringatan kepada golongan itu supaya sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berintegriti. 

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata, tindakan berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak sepatutnya melemahkan semangat penjawat awam kerana ia bagi memastikan sektor itu bersih dan bebas daripada kegiatan tidak bermoral. 

"Tindakan SPRM untuk memastikan kita (penjawat awam) sedar bahawa kita perlu mengamalkan prinsip ketelusan dan integriti ketika menjalankan tugas dan ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

"Jadikan perkara ini sebagai lonjakan kepada semua penjawat awam untuk terus bertugas lebih dedikasi bagi memastikan hasrat Malaysia menjadi sebuah negara terbilang menjelang 2050 tercapai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Karnival Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak), di sini Ahad.

Menurut Zainal Rahim, pendedahan kes demi kes rasuah melibatkan sektor itu, memberi ruang kepada jabatan berkenaan untuk meneliti dan menambah baik segala aspek berkaitan termasuk memperkemas prosedur kerja penjawat awam dari semasa ke semasa. 

Mengenai persepsi negatif masyarakat terhadap sektor awam, Zainal Rahim berkata, atas sebab itu penjawat awam harus menjadikannya sebagai satu tuntutan untuk menjauhkan diri daripada gejala rasuah.

Bagaimanapun, katanya, isu itu tidak mengganggu usaha jabatan tersebut untuk menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menjadikan 2017 sebagai tahun penyampaian perkhidmatan.

"Penjawat awam kini sangat berkobar-kobar dalam menjalankan tugas masing-masing seperti yang disaran perdana menteri, malah kita sudah bertekad untuk lebih komited dalam menjalankan tugas," katanya. 

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu gaji pensyarah universiti awam yang didakwa masih di takuk lama, Zainal Rahim menyatakan skim berkenaan dibuat mengikut sistem Skim Saraan Malaysia.

Namun katanya, jabatan berkenaan akan meneliti isu yang dibangkitkan pihak terlibat dan faktor yang boleh menyelesaikan masalah berbangkit.

Pada Ahad, sebuah akhbar tempatan melaporkan skim perkhidmatan pensyarah tidak pernah dikaji sejak 15 tahun lalu walaupun 35,000 golongan itu kini dibebani pelbagai tugas termasuk berusaha menjana pendapatan untuk universiti. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain