suria

Maut Dihempap Pokok Kelapa

Ajal dihempap pokok kelapa. Foto Twitter @bernamadotcom

SHAH ALAM: Seorang lelaki maut akibat dihempap pokok kelapa dalam kejadian di Jalan Haji Sabri, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam dekat sini, Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa Abdul Latif Mohd Nor, 58, menunggang basikal bersendirian melalui jalan tersebut, sebelum sebatang pokok kelapa tumbang dan menghempap mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira 12.49 tengah hari.

"Kejadian itu mungkin berlaku disebabkan angin kencang sekitar 12 tengah hari tadi...mangsa ketika itu sedang malalui kawasan berkenaan sebelum sebatang pokok kelapa tumbang lalu manghempapnya.

"Bomba terpaksa memotong pokok kelapa berkenaan bagi mengalihkan badan mangsa," katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan dan mayatnya dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat. - Bernama

Artikel Lain