suria

Matta Sambut Baik Keputusan Visa Terhadap Korea Utara

Phua (kiri) bersama Treacy pada sidang media memperkenalkan Royal Caribbean International sebagai rakan penaja pameran Matta 2017.

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengenakan visa terhadap semua warganegara Korea Utara yang ingin memasuki Malaysia berkuatkuasa Isnin ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Phua Tai Neng berkata, persatuan tersebut sentiasa menghormati apa jua keputusan kerajaan dan yakin pendekatan itu tidak akan menjejaskan sektor pelancongan negara.

"Kita alu-alukan keputusan tersebut yang pastinya dilakukan demi keselamatan negara.

"Kita yakin ia tidak akan memberi impak besar kepada jumlah kedatangan pelancong ke negara ini," katanya ketika ditemui mStar Online di pejabat Matta dekat sini, Khamis.

Beliau berkata, jumlah kehadiran pelancong Korea Utara ke Malaysia tidak begitu ramai berbanding pelancong negara lain.

"Sebelum ini pun pelawat dari Korea Utara tak ramai. Jadi kita tidak perlu bimbang mengenainya," kata Phua.

Menurut beliau, rakyat Malaysia juga jarang memilih untuk melancong ke Korea Utara kerana perjalanan ke sana bukan mudah.

"Jarang sekali rakyat kita melancong ke sana kerana tiada penerbangan secara terus ke negara tersebut.

"Sesiapa yang mahu pergi ke sana perlu melalui negara ketiga iaitu sama ada berlepas dari Beijing atau Rusia untuk ke Pyongyang," katanya.

Terdahulu, Tai Neng memperkenalkan syarikat kapal persiaran mewah 'Royal Caribbean International' yang berpangkalan di Miami, Amerika Syarikat sebagai rakan penaja pameran Matta 2017 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 hingga 19 Mac ini.

Bersempena pameran Matta 2017, syarikat pengendali kapal persiaran mewah itu menawarkan pakej percutian bermula pada harga serendah RM1408 seorang membabitkan pelayaran menggunakan kapal Ovation of The Seas di sekitar Asia Tenggara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Royal Caribbean International (Singapura dan Asia Tenggara), Sean Treacy berkata, promosi itu ditawarkan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-10 pameran tersebut di Asia.

Jelas Treacy, sejak tahun lalu syarikat itu berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 40 peratus dari segi bilangan pelancong di Malaysia yang memilih jenis pelancongan di atas kapal persiaran mewah ini.

"Walaupun jumlah itu masih kecil berbanding Eropah, ia pencapaian yang boleh dibanggakan. Kami yakin jumlah ini akan meningkat dalam beberapa tahun akan datang," katanya.

Kapal 18 dek itu yang dianggap sebuah kapal persiaran terbesar di dunia akan memulakan pelayaran tiga hingga lima hari dari Singapura menuju Pulau Pinang, Phuket, Bangkok dan 12 hari ke Tianjin melalui Ho Chi Minh City sebelum berlayar ke Hong Kong dan Seoul (Incheon) dari 6 Mac ini.

Menariknya, pengunjung juga berpeluang merasai sendiri aktiviti lasak seperti luncur udara dan peluncur simulator selain North Star iaitu kapsul kaca yang akan membawa anda menikmati pemandangan pada ketinggian 91 meter di atas permukaan laut.

Selain itu, Treacy berkata pengunjung juga tidak perlu bimbang mengenai harga pakej percutian itu kerana ia termasuk semua kemudahan dan hidangan yang disediakan di atas kapal mewah tersebut.

"Walaupun harganya bermula dari RM1,408 seorang, pengunjung boleh menikmati segala kemudahan yang disediakan pada satu harga," katanya.




pameran Matta, Korea Utara

Artikel Lain