suria

KL-Riyadh Tingkatkan Kerjasama Bendung Keganasan, Ajaran Sesat - Jamil Khir

Jamil Khir Baharom.

KUALA LUMPUR: Kerjasama Kuala Lumpur-Riyadh bakal dipertingkatkan lagi dalam membendung penyelewengan agama yang menjurus kepada aktiviti keganasan dan ajaran sesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kolaborasi itu akan direalisasikan melalui perjanjian persefahaman (MOU) antara Malaysia-Arab Saudi dalam masa terdekat.

Perkara itu adalah antara perkara utama yang dibincangkan dalam pertemuan Jamil Khir dengan Menteri Hal Ehwal Agama Islam Arab Saudi Sheikh Saleh bin Abdul-Aziz Al Ash-Sheikh di sini Selasa.

Sheikh Saleh berada di negara ini susulan lawatan negara Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia selama empat hari sejak Ahad.

"Riyadh akan menyediakan MOU bagi tujuan kolaborasi dalam hal ehwal agama yang perlu diperkemaskan lagi.

"Ini kerana ketika ini, pelbagai ancaman timbul dalam penyalahgunaan agama seperti Daesh dan ajaran sesat.

"Oleh kerana itu, kita perlu rapatkan hubungan antara kedua-dua negara bagi membendung sebarang ancaman yang mengganggu-gugat kesejahteraan ummah," kata Jamil Khir.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mengetuai mufti-mufti dalam pertemuan dengan Raja Salman di sini Selasa. - BERNAMA

keganasan, ajaran sesat, KL, Riyadh

Artikel Lain