suria

AirAsia, AirAsia X Beri Amaran Iklan Palsu Tawar Diskaun Besar-Besaran

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd dan unitnya, AirAsia X Bhd memberi amaran kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan iklan di platform media sosial yang menawarkan diskaun besar-besaran bagi tiket penerbangan kedua-dua syarikat penerbangan tersebut.

AirAsia Bhd dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, ia telah membuat laporan polis selepas menerima aduan daripada orang ramai yang menjadi mangsa kepada ejen pelancongan palsu.

"Kami ingin mengingatkan kepada orang ramai agar menempah tiket penerbangan mereka hanya menerusi saluran rasmi seperti, airasia.com, sekutu rasmi  (AirAsiaGo.com) dan pusat jualan rasmi yang tersenarai dalam laman web itu," kata syarikat penerbangan berkenaan.

AirAsia Bhd berkata ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang menganjurkan skim haram menggunakan jenama AirAsia.

"Apabila ragu-ragu atau ingin melaporkan mengenai penipuan yang disyaki menggunakan jenama AirAsia, orang ramai boleh menghubungi AirAsia menerusi saluran komunikasi rasminya," kata syarikat penerbangan itu. - BERNAMA

AirAsia, AirAsia X, diskaun

Artikel Lain