suria

Rasuah: Penolong Jurutera JKR Didakwa Lima Pertuduhan

ALOR SETAR: Seorang penolong jurutera Jabatan Kerja  Raya (JKR) pada Khamis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM210,000, Ogos tahun lepas.

Tertuduh, Ishak Ismail, 56, yang bertugas di JKR cawangan Sik, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu dan memohon dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama, Ishak didakwa meminta rasuah sebanyak RM55,000 daripada Nor Azman Hashim, yang juga dikenali sebagai 'Adam' menerusi panggilan telefon pada pukul 3.51 petang, 2 Ogos 2016.

Suapan tersebut sebagai dorongan menyokong sebut harga oleh syarikat Hash Padu Enterprise, Tanjak Perkasa Enterprise dan Sri Nadiya bagi kerja-kerja menebang pokok, mengorek keluar akar dan penyelenggaraan penghadang  jalan di daerah Sik.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminta rasuah sebanyak RM20,000 daripada Adam pada pukul 8 malam di hadapan sebuah hotel di Sungai Petani pada 4 Ogos 2016 untuk tujuan sama bagi syarikat Panji Mega Enterprise.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM75,000 untuk tujuan dan individu sama di rumahnya, di No. 67, Batu 14, Simpang 3, Sungai Daun Yan, dekat sini, pada pukul 4.45 petang, 9 Ogos 2016.

Untuk pertuduhan keempat, Ishak didakwa meminta rasuah berjumlah RM30,000 daripada Adam menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada pukul 6.55 petang, 14 Ogos 2016 sebagai dorongan untuk menyokong sebut harga oleh ZNZ Warisan Enterprise bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil cerun bagi daerah Sik.

Bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa telah menerima rasuah sebanyak RM30,000 secara tunai daripada Adam di rumahnya pada pukul 4.54 petang, 18 Ogos, 2016 untuk tujuan sama. 

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan  denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, peguam tertuduh, Ramkarpal Singh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan awal yang diminta sebanyak RM50,000 kerana anak guamnya akan berpencen bulan depan selain ia adalah kesalahan pertama.

Hakim Zuhazmi Abdullah menetapkan 28 Mac depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenar ikat jamin sebanyak RM30,000 oleh seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu  Bakar. - BERNAMA

Rasuah, JKR

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dego Ride Mohon Sokongan NGO

Artikel Lain