suria

Mahkamah Benarkan Bedah Siasat Kedua Ke Atas Mayat Balamurugan

Peguam N. Surendran (kiri) menerangkan sesuatu kepada keluarga tahanan yang mati dalam lokap, mendiang S. Balamurugan, yang membuat permohonan untuk bedah siasat kali kedua ke atas mayat itu di Kompleks Mahkamah Shah Alam, Rabu. Turut hadir isteri mangsa, Natthanan Yoochoomsook, 38 (tengah) dan anak mereka Yanika (dua, kanan). Foto Bernama

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, Rabu membenarkan permohonan keluarga S. Balamurugan yang dilaporkan mati ketika dalam tahanan polis awal bulan ini, supaya bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat lelaki itu untuk mengenal pasti punca kematiannya.

Hakim, Datuk Mohd Azman Husin mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan adik Balamurugan, Balraj, 34, yang diwakili peguam N. Surendran.

Balraj memfailkan notis usul bagi mendapat kebenaran untuk bedah siasat kedua dijalankan oleh pakar patologi Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) selepas tidak berpuas hati dengan hasil bedah siasat pertama dilakukan pakar patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Beliau antara lain turut memohon perintah supaya HTAR melepas dan menghantar mayat Balamurugan ke HKL selain memohon semua laporan perubatan serta dokumen berkenaan bedah siasat pertama dan kedua diserahkan kepada peguam dalam tempoh tidak melebihi dua bulan.

Dalam afidavit sokongannya, Balraj berkata, Balamurugan meninggal dunia antara 7 Februari dan 8 Februari lepas semasa berada dalam jagaan dan tanggungjawab pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Beliau berkata, keluarganya tidak dapat menerima keputusan pakar patologi yang menjalankan bedah siasat pertama di mana mereka dimaklumkan secara lisan bahawa kematian Balamurugan hanya disebabkan masalah jantung, walaupun pakar itu mengakui bahawa terdapat kesan-kesan lebam di merata tempat pada badan si mati.

Beliau berkata, anggota keluarganya tidak mempunyai cara lain selain daripada mendapatkan perintah untuk menjalankan satu lagi bedah siasat ke atas mayat Balamurugan dalam usaha untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan bagi mengenal pasti apa sebenarnya yang telah berlaku kepada si mati. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain