suria

Jangan Terpedaya Tawaran Valet Doa - Jakim

Othman Mustapha.

PUTRAJAYA: Umat Islam seharusnya tidak terpedaya dengan individu atau pertubuhan yang menawarkan pakej khidmat valet doa di Makkah dengan harga tertentu, seperti yang ditularkan di media sosial ketika ini.  

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha berkata, pakej valet doa itu jelas menunjukkan unsur perniagaan, menjaja serta menggunakan ibadat serta doa untuk tujuan perniagaan yang tidak dibenarkan Islam. 

"Adalah sangat tidak wajar doa dijadikan produk atau perkhidmatan komersial kerana ia mempergunakan agama untuk habuan dunia dan mencemarkan kesucian agama Islam. 

"Hak termakbulnya doa adalah milik Allah semata-semata, bukan terletak kepada manusia. Ia tidak boleh diqiyaskan dengan badal haji kerana bukan haji mabrur yang diupahkan tetapi amalan badal haji itu sendiri yang boleh menerima upah," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Beliau mengulas mengenai valet doa yang ditawarkan pihak tertentu di media sosial, termasuk pakej berdoa di Tanah Suci dengan harga sehingga RM2,500. 

Othman berkata, tidak wajar mana-mana individu menjamin doanya termasuk doa untuk orang lain akan dimakbulkan Allah. 

Sehubungan itu, beliau menyarankan umat Islam agar memberikan maklumat kepada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri sekiranya timbul sebarang keraguan atau kemusykilan terhadap isu seumpama itu. - Bernama

Jakim, Valet Doa

Artikel Lain