suria

Noh: Jamal Masih Ketua Umno, Pengerusi BN Sungai Besar

TANJONG KARANG: Status Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen itu masih kekal, selagi kedudukannya belum diputuskan Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya bagaimanapun menghormati keputusan Jamal untuk meletak jawatan atas alasan tidak mahu melibatkan Umno dalam segala tindak tanduknya.

"Ketika Jamal serah surat letak jawatan kepada saya Rabu lepas saya beritahu beliau saya kena panjangkan surat itu kepada MT kerana beliau dipilih oleh perwakilan. 

"Sama ada peletakan jawatannya diterima atau tidak, saya serah pada MT dan saya akan serah surat letak jawatan kepada pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat. Selagi tiada keputusan daripada MT, Jamal masih Ketua (Bahagian) Umno Sungai Besar dan Pengerusi BN Parlimen itu," katanya dalam sidang media.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Agama Menengah Tanjong Karang di sini petang Jumaat.

Jamal dilaporkan nekad dengan pendiriannya untuk melepaskan jawatan tersebut kerana tidak mahu membebankan Umno susulan penahanannya berhubung insiden pencerobohan sebuah pusat hiburan pada Disember tahun lepas.

Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang dalam pada itu menyifatkan Jamal seorang pemimpin berjiwa besar kerana sanggup mengetepikan jawatannya untuk berjuang memerangi aktiviti perjudian di Selangor.

"Kalau mengikut amalan dalam Umno termasuk di Selangor hanya pemimpin yang didakwa di mahkamah sahaja yang akan digantung jawatan tetapi Jamal baru disiasat dan setakat ini belum ada pendakwaan dibuat ke atasnya.

Bagi saya Jamal ikhlas dalam perjuangannya. Oleh kerana tidak mahu babitkan Umno dia tawar diri letak jawatan. Daripada perbincangan saya dengan Jamal beliau tidak mahu nama UMNO tercemar sedangkan tindak tanduknya itu untuk menegak kebenaran," katanya.

Pada Isnin lepas, Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) mengumumkan akan melepaskan semua jawatannya dalam Umno selepas dibebaskan daripada tahanan reman bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas beberapa premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Selangor. - Bernama

Jamal Md Yunos

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain