suria

Thai Mohon Polis Malaysia Ekstradisi Suspek Militan

BANGKOK: Thailand telah meminta Malaysia untuk mengekstradisi seorang daripada enam individu yang ditahan di Kelantan bulan lalu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan selatan Thai.

Ketua Tentera Thailand, Jen Chalermchai Sittisart berkata individu terbabit disyaki merupakan seorang anggota Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan paling berpengaruh di selatan Thailand.

"Saya ingin mengesahkan seorang daripada enam orang itu merupakan anggota  BRN.

Kami telah menghantar permohonan ekstradisi dan saya fikir pihak berkuasa Malaysia juga mahu mengadakan siasatan mereka terlebih dahulu," katanya kepada media pada Isnin.

Siasatan pihak berkuasa Thai bukan sahaja membuktikan individu terbabit sebagai anggota BRN, tetapi juga menunjukkan individu berkenaan telah melakukan jenayah di selatan Thai," katanya.

Dalam serbuan di beberapa lokasi di sekitar Pasir Mas, Kelantan pada 15 Januari lalu, polis Kelantan menahan enam individu dan menemukan bahan yang dipercayai digunakan untuk membuat bom termasuk wayar dan bateri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail sebelum ini dipetik sebagai berkata pihaknya percaya kes tersebut mempunyai kaitan dengan ancaman keselamatan Malaysia dan akan melakukan siasatan mendalam.

Mengulas lanjut, Chalermchai berkata terpulang kepada kerajaan Malaysia sama ada mahu memenuhi tuntutan ekstradisi Thailand dan menekankan bahawa kedua-dua negara sentiasa mengekalkan kerjasama baik dalam aspek keselamatan.

"Kami telah mencuba (dalam memohon ekstradisi," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Kerjasama antara Thailand dan Malaysia, kata beliau termasuklah dalam usaha memantau sebarang percubaan anggota Daesh untuk memasuki Malaysia atau Thailand.

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwon yang ditanya mengenai perkara yang sama berkata Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand (NSC) telah berbincang mengenainya dengan pihak berkuasa Malaysia.

Beliau menambah jika individu terbabit terlibat dalam aktiviti keganasan di Thailand, pihak berkuasa mereka akan memohon untuk menyertai proses siasatan atau memohon ekstradisi.

"Jika dia mempunyai waran tangkap di Thailand, adalah perlu bagi kami untuk memohon ekstradisinya ke Thailand," katanya.

Thailand, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain