suria

Ibu Nureen Ain Trauma Lihat Kawasan Lombong Bauksit

Nor Habibah Aidil

KUANTAN: Ibu kepada mangsa lemas di lombong bauksit di sini, Nor Habibah Aidil tidak pernah mengetahui kewujudan 'kolam' di lombong bauksit berhampiran rumahnya di Kampung Sungai Karang Darat di sini.

Nor Habibah, 50, berkata hampir setiap hari dia melalui kawasan itu dan pada pemerhatiannya, terdapat timbunan tanah di situ yang diketahuinya 'kawasan perlombongan bauskit'.

Sehingga kini, katanya, dia masih tidak boleh melihat lombong bauksit Taman Sungai Karang Jaya itu kerana masih terbayangkan keadaan anak perempuan tunggalnya, Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10, yang lemas di situ.

"Saya juga tidak melihat gambar berkaitan kejadian menimpa Ain (panggilan Nureen Ain) yang dikongsi saudara mara. Saya memang tidak sangka lombong bauksit yang saya lihat setiap hari akhirnya meragut nyawa anak," katanya.

Nor Habibah berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin di rumahnya di sini, Selasa.

Pada 5 petang Sabtu lalu, Nureen Ain Juwita dan dua rakannya yang merupakan pasangan adik-beradik, Salsabila Zuhairi, 12, dan Mahathir Mohamad, 7, ditemui lemas di lombong bauksit itu.

Nor Habibah menambah sejak kejadian itu, dirinya berasa kosong dan rumahnya juga lebih sunyi kerana arwah seorang anak yang ceria, mudah bercerita dan tidak suka memarahi orang.

"Dia satu-satunya anak perempuan saya. Saya terasa kehilangannya... tapi saya perlu reda," katanya yang mempunyai enam orang anak termasuk tiga Orang Kelainan Upaya (OKU).

Mengulas mengenai keputusan ayahnya Aidil Omar, 78, yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menjalankan perlombongan bauksit di sini, Nor Habibah berkata dia menyokong tindakan itu.

Setakat ini, katanya, dia masih tidak mengetahui perincian saman itu dan meletakkan kepercayaan kepada ayahnya untuk menguruskan perkara itu.

"Ayah sangat sayangkan Ain...saya tahu beliau sukar untuk terima kejadian ke atas cucunya. Mungkin sebab itu beliau mahu ambil tindakan saman," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

"Saya Sayangkan Umno" - Jamal

Artikel Lain