suria

Sekatan Balak: Jabatan Perhutanan Kelantan Nafi Bakar Pondok Orang Asli

KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menafikan agensi itu membakar pondok haram yang dibina oleh Orang Asli di sekatan laluan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah dalam operasi di Gua Musang, Isnin.

Pengarahnya Datuk Zahari Ibrahim mengakui pasukan penguat kuasa agensi itu melaksanakan operasi meroboh pondok haram yang dibina pagi tadi tetapi tidak membakar pondok sesuka hati sepertimana didakwa oleh sesetengah pihak.

Beliau berkata berdasarkan laporan daripada pegawai yang menjalankan operasi berkenaan, kebakaran itu berpunca daripada bara api yang ditinggalkan oleh sekumpulan Orang Asli dalam pondok yang baharu dibina mereka di kawasan sekatan pembalakan tersebut.


"Dalam operasi di HSK Balah itu memang ada kerja meroboh pondok yang dibina secara haram. Bagaimanapun, kesan terbakar adalah berpunca daripada kesan bara api yang ditinggalkan semalaman oleh Orang Asli yang disangkakan sudah terpadam," katanya dalam kenyataan, Isnin.


Zahari berkata ketika kerja meroboh mahu dimulakan terdapat empat Orang Asli berada dalam pondok yang baharu dibina dan sebaik anggota penguat kuasa JPNK tiba, mereka diarahkan meninggalkan penempatan haram terbabit.


Beliau berkata selain meroboh pondok yang baharu dibina, JPNK juga bertindak merobohkan sekatan baharu yang dibina oleh kumpulan Orang Asli di kawasan berkenaan.


Katanya operasi terbabit membabitkan tiga pasukan penguat kuasa JPNK termasuk daripada Pejabat Hutan Gua Musang bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang, Isnin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain