suria

Sekatan Orang Asli Di Gua Musang Dibakar, Diroboh

PETALING JAYA: Sekatan Orang Asli Simpang Petei di Gua Musang telah dirobohkan sekali lagi, kali ini menyaksikan pondok-pondok dibakar dan struktur sementara yang dibina untuk mengelakkan aktiviti pembalakan dimusnahkan.

Timbalan Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM), Jamali Ayau berkata dua buah jentolak dan empat kenderaan pacuan empat roda (4WD) tiba di kawasan sekatan pada pukul 10.55 pagi Isnin.

Beliau berkata kenderaan 4WD tersebut mempunyai lambang Jabatan Perhutanan.

"Mereka tidak banyak bercakap dan mula menggunakan parang untuk memusnahkan sekatan.

"Mereka kemudian membawa jentolak untuk menolak sekatan," kata aktivis Orang Asli berusia 30 tahun itu.

"Mereka membakar sekatan dan pondok yang kita bina, termasuk balai adat (dewan tradisional)," kata Jamali, sambil menambah terdapat kira-kira 30 Orang Asli di lokasi berkenaan apabila kerja-kerja meroboh dilakukan.

Masih belum disahkan pihak mana yang menjalankan perobohan itu.

Orang Asli merancang untuk membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Gua Musang pada pagi Selasa.

Jamali berkata mereka bagaimanapun akan membina semula sekatan.

Pada 24 Januari, pegawai perhutanan telah merobohkan sekatan Orang Asli di Matau Cawas, dekat Pos Bihai, menahan 16 Orang Asli dan dua wartawan bebas dari agensi berita Channel NewsAsia Singapura.

16 tahanan itu telah dibebaskan kemudian.

Sehari sebelum itu, pegawai penguatkuasa merobohkan sekatan di Simpang Petei dan menahan beberapa Orang Asli, yang kemudian telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Sekatan-sekatan tersebut, yang menjadi kawasan konfrontasi antara Orang Asli, kerajaan negeri dan pembalak telah dibina untuk menghalang pembalak daripada mendapat akses masuk ke hutan pedalaman, di mana Orang Asli mendakwa ia merupakan tanah adat mereka.

Orang Asli juga mendakwa bahawa penebangan hutan akibat pembalakan telah menyebabkan mereka kehilangan mata pencarian dan telah mencemarkan sumber air.

Sekatan-sekatan itu telah dirobohkan pada November tahun lepas oleh pihak berkuasa dan berpuluh-puluh orang Asli telah ditangkap tetapi kemudiannya dibebaskan.

Walau bagaimanapun, mereka telah membina semula sekatan tidak lama kemudian.
sekatan, Orang Asli, pembalakan

Artikel Lain