suria

Bekalan Minyak Masak Bersubsidi Diberi Berdasarkan Populasi Penduduk

KOTA BHARU: Bekalan minyak masak bersubsidi yang dijual di seluruh negara ketika ini diberi berdasarkan populasi sesuatu kawasan dan turut mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Henry Sum Agong berkata KKM mencadangkan seorang penduduk hanya menggunakan 1.5 kilogram (kg) minyak masak setiap bulan.

"Dengan mengambil kira cadangan ini, sebagai contohnya kami bekalkan sebanyak 2.4 juta metrik tan minyak masak bersubsidi kepada 1.6 juta penduduk di Kelantan.

"Sepatutnya menerusi kaedah ini, bekalan minyak masak adalah mencukupi namun pembelian panik dalam kalangan pengguna menyebabkan bekalan minyak masak itu sering habis cepat di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II di sini, Isnin

Hadir sama Pengarah KPDNKK Kelantan Datuk Ab Ghani Harun dan Pengerusi Eksekutif Link Holders Group of Companies Gan Leong Piow.

Timbalan menteri itu mengulas mengenai kekurangan bekalan minyak masak bersubsidi yang sering berlaku di pasaran sejak akhir-akhir ini.

Mengulas lanjut, Henry berkata buat masa ini, penetapan subsidi bagi minyak masak masih diberikan secara inklusif kepada semua pengguna dan tidak hanya menyasarkan kepada golongan tertentu sahaja.

"Hasrat kerajaan bagi bahan bersubsidi ini disasarkan untuk golongan tertentu sahaja, namun sehingga kini ia masih diberikan kepada populasi secara keseluruhan.

"Masalah memang ada tapi apa yang penting adalah bagaimana cara kita nak selesaikan masalah tersebut," katanya.-- Bernama


minyak masak, KPDNKK, Henry Sum Agong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain