suria

Tak Ada Tikam Depan, Belakang - Annuar Musa

SEPANG: Tan Sri Annuar Musa menafikan beliau menjadi mangsa khianat sehingga diheret dalam isu penajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Annuar berkata, beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa berhubung isu ini.

"Saya tak nak main 'blaming game'. Kalau nak persalahkan sana, persalahkan sini, tak sudah.

"Tak timbul soal tikam depan, tikam belakang. Saya fikir semua nak jalankan tugas masing-masing. Jangan cari alasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Khamis malam.

Penerbangan Malaysia Airlines MH130 yang dinaiki Annuar tiba di tanah air kira-kira pukul 9.20 malam.

Dalam pada itu, Annuar meminta ahli-ahli Ummo tidak membuat spekulasi atau menuding sesama sendiri.

"Kepada ahli-ahli Umno supaya bertenang dan tidak menambah kekusutan.

"Ahli-ahli Umno tak perlu buat spekulasi atau tuding-menuding terutama sesama sendiri, ahli-ahli Umno kena utamakan parti.

"Ahli-ahli Umno mesti fokus kepada solidariti bersama pemimpin dan parti," katanya.

Menurut Annuar, beliau akan tampil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya pada kira-kira pukul 8 pagi Jumaat untuk membantu siasatan.

Selasa lalu, Annuar diminta 'bercuti sementara' sebagai Pengerusi Mara dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) berkuatkuasa serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman diadakan berhubung isu penajaan Mara kepada Kafa.

Isu berkenaan tercetus selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengeluarkan dana bagi menaja The Red Warriors (TRW).

Bagaimanapun, Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa.

Annuar Musa, Mara

Artikel Sebelum

Saya Tidak Lari - Annuar Musa

Artikel Berikut

Artikel Lain