suria

Padah Cuba Lari Daripada Polis

JOHOR BAHRU: Polis terpaksa menembak tayar kereta yang dipandu oleh seorang lelaki yang cuba melarikan diri kerana memandu dengan lesen yang sudah tamat tempoh.

Ketua Polis Seri Alam, Supritenden Johkiri Abdul Aziz berkata, lelaki berusia 27 tahun itu yang bekerja sebagai tukang masa di Singapura, memandu bersama anak lelaki berusia tiga tahun dan kekasihnya yang berumur 37 tahun di pekan Ulu Tiram kira-kira pukul 11 pagi Rabu.

"Suspek diarahkan untuk berhenti oleh dua anggota polis selepas dia dikesan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Pada awalnya, dia mematuhi arahan tetapi tiba-tiba memecut keretanya," kata Jokhiri dalam satu kenyataan.

Polis terpaksa mengejar suspek yang turut merempuh beberapa buah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

Tambahnya, suspek juga merempuh sebuah motosikal polis, menyebabkan anggota keselamatan itu melompat untuk mengelakkan mengalami kecederaan.

Ekoran kedegilan pemandu tersebut, polis melepaskan tembakan ke arah tayar kereta tersebut menyebabkan kenderaan terbabit terbabas ke dalam longkang.

"Tembakan terpaksa dilepaskan kerana suspek bukan sahaja membahayakan nyawa anggota polis, tetapo orang ramai," kata beliau.

Suspek kemudiaannya ditahan dan siasatan awal mendapati dia mempunyai rekod jenayah rompak dan jenayah berkaitan dadah.

Lelaki itu juga didapati positif dadah.

Sehubungan itu, Jokhiri menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu berhubung kejadian tersebut yang mengaitkannya dengan insiden penculikan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain