suria

Merpati Sekitar Jam Besar Di Madinah Curi Tumpuan

ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu saya mengakhiri catatan saya mengenai anak istimewa, Muhaimin Nordin, 23, yang mahu membeli minuman di Starbucks di pintu 16 berhampiran perkarangan Masjid Nabawi selepas bersarapan.

Setelah membeli minuman kegemarannya, kami berjalan pulang ke Hotel Sofaara Iman. Saya mengajak Muhaimin melalui beberapa laluan yang sering saya tempuhi, terutama jika menginap hotel berdekatan pintu 24 dan 25.

“Aunty suka kawasan ini. Lebih meriah, banyak tempat makan dan mudah untuk perempuan masuk ke Raudah,” ujar saya.

“Kawasan ni ramai orang ye aunty…” ujar Muhaimin pula.

“Di sini sibuk lagi berbanding hotel yang tempat kita duduk tu,” balas saya pula.

“Wah cantik tempat ini aunty,” ujar Muhaimin ceria sambil melontarkan pandangan di kawasan jam besar yang terletak di depan pintu 22 Masjid Nabawi. Saya memerhati riak wajah anak muda itu yang seusia anak sulung saya.

“Elok bawa yang lain datang ke sini nanti sebelum kita pergi Makkah,” katanya melontarkan cadangan.

“InsyaAllah. Tempat ni memang cantik. Aunty pun suka. Pernah bawa anak-anak datang sini juga untuk bergambar,” balas saya.

“Macam di London. Banyak merpati di sini,” balas Muhaimin lagi.

“Ye betul. Macam di Trafalgar Square…” balas saya tertawa kecil.

Muhaimin asyik memerhati di sekitar kawasan itu dan dia kelihatan begitu tertarik dengannya.

“Nanti sebelum berangkat ke Makkah, kita datang lagi dengan yang lain, insha Allah,” ujar saya. 

Kami berjalan pulang ke hotel penginapan.

Dalam hati saya terfikir, masa begitu suntuk untuk membawa insan istimewa yang lain ke tempat itu tetapi insyaAllah, semua boleh diatur sebelum berangkat ke Makkah. Tidak sampai hati pula jika yang lain tidak ke tempat itu untuk bergambar kenangan apatah lagi setelah disarankan oleh Muhaimin.

Setiba di bilik penginapan, saya bertanya kepada Afiqah adakah adiknya, Mior Azib, seorang lagi anak istimewa sudah ke kawasan jam besar dan beliau mengatakan sudah ke situ bersama-sama sepupu mereka.

Pada petang itu selepas solat Asar, taklimat sebelum berangkat ke Makkah diadakan di Restoran Sukaria yang terletak di paras S Hotel Sofaara Iman. Sebahagian besar jemaah hadir pada sesi berkenaan.

Antara lain yang diberi penekanan pada taklimat itu ialah berhubung bagasi, solat jamak tamam, mandi sunat ihram dan berkumpul di lobi hotel pada jam 2 petang. 

Selesai taklimat hampir 45 minit, ketua rombongan Haji Mohd Rodi Musa bertanya berapa ramai jemaah, terutama anak istimewa memerlukan khidmat kerusi roda untuk bertawaf dan bersaie bagi menyempurnakan ibadat umrah.

Saya dan beberapa jemaah berbincang seketika dan tidak lama selepas itu, Zuraini; seorang daripada pengiring anak istimewa menulis nama jemaah yang memerlukan khidmat kerusi roda untuk menyempurnakan ibadat umrah.

Selesai taklimat dan perbincangan, semua bersurai serta bergegas ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjemaah.

Setelah menikmati hidangan malam, saya maklumkan kepada seorang lagi pengiring, Mohd Zaini Jamil, hasrat untuk membawa anak istimewa berjalan-jalan di sekitar jam besar di pintu 22 Masjid Nabawi.



Disebabkan kesuntukan masa, saya menetapkan pada Rabu 28 Disember iaitu hari terakhir di Madinah untuk ke situ. Waktu paling sesuai untuk ke tempat itu ialah sebelum jam 10 pagi kerana selepas itu, matahari mula memancar walaupun sesekali terasa angin dingin.

Kesibukan mengurus bagasi tidak membantutkan hasrat untuk membawa anak istimewa ke jam besar. Sejurus sarapan, semua berkumpul di lobi dan kami berjalan beramai-ramai dari hotel penginapan menuju ke jam besar.

Hampir tiba di kawasan itu, sudah terlihat banyak merpati mengeliling jam dan sekitar hotel. Berkumpulan merpati berterbangan menarik perhatian, terutama anak istimewa yang dibawa bersama-sama.

Namun begitu, Atikah, seorang anak istimewa, takut apabila kami semakin menghampiri jam besar. Ibunya memujuk. Rozidi, Muhaimin, Khuzairy dan Along kelihatan gembira. Semua bergambar kenangan. Setelah itu kami berjalan menuju ke hotel penginapan namun ada yang singgah seketika di bazar berhampiran untuk membeli ole-ole.

Saya pula mengajak Mohd Zaini dan Muhaimin ke Bin Dawood dan Madinah Gift Shop yang terletak di dalam Hotel Movenpick untuk membeli cenderahati. Mereka turut berbelanja. Selepas itu, kami bergegas pulang ke hotel untuk persediaan terakhir sebelum meninggalkan Madinah.

Setelah empat malam menginap di Hotel Sofaara Iman, kami berangkat ke kota Makkah setelah menikmati hidangan tengah hari. Semua berkumpul di lobi hotel pada jam 2 petang dan tidak lama selepas itu kami berangkat ke masjid Bir ‘Ali untuk bersolat sunat ihram dan melafazkan niat.

Terdahulu, sebelum berangkat ke Makkah dan bagi memastikan anak-anak istimewa tidak melanggar pantang larang ihram, kami berpesan kepada mereka agar tidak melakukan perkara yang termasuk di dalam pantang larang ketika ihram. 

Justeru, songkok, kopiah, minyak wangi dan pakaian mereka disimpan rapi. Dalam masa yang sama, pengiring sering mengingatkan dari semasa ke semasa.

Alhamdulillah, perjalanan lancar dan kami berhenti di kawasan istirehat untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak. Usai solat, Datin Ainiah, maklumkan kepada saya bahawa Noraini atau saya panggil kak Ani hilang duit.

“Ya Allah. Di mana hilang duit kak Ani?” tanya saya sejurus melihat kak Ani di dalam kebingungan.

“Entahlah, mungkin masa kita solat tadi…” ujarnya ringkas.

“Kak Ani solat di mana tadi?” tanya saya.

“Sebaris dengan kita semua. Tapi beg galas diletak di belakang,” ujar Datin Ainiah.

“Banyak ke kak Ani?” tanya saya lagi.

“Ada SR500. Dokumen lain pun ada dalam dompet yang diambil tu. Kad pengenalan, kad pesara, kad ATM dan lesen memandu,” ujar kak Ani lagi dengan nada perlahan.

“Ya Allah…sabar kak Ani,” balas saya.

Apakah daya, perkara sudah hendak berlaku. Bisik hati kecil saya. Lazimnya, saya menasihatkan jemaah agar tidak membawa dokumen peribadi ke Tanah Suci namun, masih ramai yang berbuat demikian. Mungkin sudah menjadi kebiasaan membawa semua dokumen itu yang seringkali diletakkan di dalam dompet.

“Kena laporkan pada pihak polis ke duit mak saya hilang?” tanya Mohd Zulfadli kepada saya di depan bas sejurus melihat saya.

“Selalunya memang tak buat laporan polis. Duit memang tak dapat balik. Susah…” ujar saya.



Kak Ani adalah teman sebilik saya. Dia periang dan peramah. Sering tertawa dan pandai berlawak. Namun, dia muram dan kelihatan terperanjat setelah kehilangan dompet berisi pelbagai dokumen dan wang.

Dalam masa yang sama, Haji Rodi pula maklumkan ada seorang jemaah tiba-tiba kurang sihat dan seorang lagi sesak nafas tetapi mereka di dalam bas lain. Pelbagai perkara boleh berlaku dan pernah saya melihat seorang wanita di dalam ihram menghembuskan nafas terakhir di depan ruang solat kawasan istirehat.

Setelah semua selesai solat dan mengalas perut, bas meneruskan perjalanan ke Makkah yang masih berbaki 150 km. Alhamdulillah, kami tiba di depan Hotel Mira Ajyad yang terletak kira-kira 250 meter dari perkarangan Masjidil Haram sebelum jam 10 malam.

Setelah kunci diserahkan, kami diminta makan malam sebelum masuk ke dalam bilik masing-masing yang terletak di paras 12. Setelah membersihkan diri, semua berkumpul semula di paras bawah hotel berkenaan untuk bergerak bersama-sama ke Masjidil Haram bagi menyempurnakan umrah.

Enam kerusi roda diperlukan ketika itu. Anak istimewa yang menggunakan khidmat kerusi roda ialah Along, Khuzairy, Atikah, Azizah manakala warga emas yang memerlukan khidmat itu ialah makcik Sumah dan Khairuddin.

Mereka ditolak oleh mutawif yang dilantik oleh agensi pengendali umrah. Mereka ditolak dari hotel, ketika tawaf, saie dan pulang semula ke hotel dengan bayaran SR350 seorang. Bagaimanapun, jemaah yang ditolak itu boleh diiringi seorang atau dua waris.

Saya mengiringi Along yang tidak ditemani ibu bapanya manakala Khuzairy diiringi Mohd Zaini dan Atikah serta Azizah diiringi ibu mereka. Haji Omar (seorang lagi pengiring) dan Zuraini bersama-sama Rozidi serta Muhaimin manakala Mior Azib bersama-sama keluarganya.

Ikuti pengalaman bertawaf dan bersaie bersama-sama insan istimewa minggu depan, insyaAllah.

Masjid Nabawi, Raudah, merpati

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain