RAMAI mengambil peluang mengeratkan silaturrahim dengan menghadiri dan menganjurkan rumah terbuka sepanjang Syawal.Pada waktu inilah tuan rumah dapat menyediakan pelbagai hidangan daripada juadah berat hingga ke manisan untuk tetamu yang datang berkunjung. Namun dalam keterujaan menyambut tetamu, ada satu perkara sering merisaukan tuan rumah apabila makanan terdedah dihurung lalat.Situasi ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah boleh menimbulkan rasa malu kerana lalat terkenal sebagai serangga kotor yang boleh menjejaskan kebersihan makanan.Disebabkan itu, ramai mencari cara untuk mengelakkan lalat daripada hinggap, terutama apabila majlis berlangsung di kawasan terbuka.Dalam situasi ini, satu perkongsian daripada pengguna TikTok dikenali sebagai Haya menarik perhatian ramai apabila dia berkongsi tip mudah mengatasi masalah tersebut.Menerusi video berkenaan, Haya menunjukkan hidangan makanan yang diletakkan di hadapan rumah di kawasan terbuka, dengan kebanyakannya tanpa sebarang penutup.Gabungan bau kopi dan asap lilin membantu menghalau lalat.Apa yang menarik, dia langsung tidak kelihatan risau walaupun makanan itu terdedah begitu sahaja.Rupanya, Haya menggunakan satu trik ringkas menggunakan bahan mudah didapati di rumah.Dia menyediakan bekas daripada aluminium foil, kemudian meletakkan lilin kecil jenis tealight di tengah bekas tersebut.Di bahagian sekeliling bekas itu pula, dia menaburkan serbuk kopi.Menurutnya, gabungan bau kopi dan asap daripada lilin membantu menghalau lalat daripada menghampiri makanan.Malah, dalam video itu juga dapat dilihat hasilnya apabila tiada seekor lalat pun hinggap pada makanan dihidangkan.Tip mudah ini boleh dijadikan idea untuk tuan rumah, khususnya ketika majlis atau jamuan melibatkan hidangan makanan.