suria

PKS Terengganu Kerugian Hampir RM1 Juta Akibat Banjir

Persimpangan Paya Besar di Hulu Terengganu dinaiki air banjir pada 4 Januari 2017. - BERNAMA

KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu baru-baru ini menyebabkan 104 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Hulu Terengganu, Setiu dan Besut kerugian lebih RM867,000, kata Pengarah SME Corporation Malaysia (SME Corp) Terengganu, Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata PKS yang terjejas boleh memohon Dana Kecemasan PKS (SMEEF) yang diwujudkan SME Corp dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

"Kita masih membuka permohonan untuk mana-mana PKS mendapatkan dana ini dan permohonan dibuka dalam tempoh setahun selepas berlaku bencana," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

SMEEF ditubuhkan bagi membantu PKS yang terjejas akibat bencana alam beroperasi semula.

Beliau berkata pembiayaan adalah dalam bentuk skim pinjaman mudah dan geran bagi membeli mesin dan peralatan, bahan mentah serta pembaikan premis perniagaan.

"Dana Kecemasan PKS itu merangkumi semua sektor ekonomi dengan pinjaman antara RM50,000 dan RM100,000 dengan hampir 90 peratus pembiayaan adalah untuk pembelian mesin dan peralatan serta pembaikan premis perniagaan yang akan diurus oleh MIDF.

"Bagi pembiayaan geran, SME Corp menyediakan RM30,000 untuk setiap PKS membaiki peralatan yang rosak dan mengubah suai premis yang terjejas banjir," katanya.

Beliau berkata antara syarat memohon SMEEF ialah PKS diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 atau didaftarkan dalam Ordinan Perniagaan 1956, memiliki lesen premis sah, serta menyediakan bukti bencana menerusi surat yang dikeluarkan pegawai daerah atau salinan laporan polis, dan beroperasi di kawasan yang diisytihar lokasi bencana oleh Majlis Keselamatan Negara atau pegawai daerah. - Bernama

SME Corp, SMEEF, PKS

Artikel Berikut

Artikel Lain