suria

Bank Batal Lelongan Semula, Setuju Tarik Balik Status Muflis

Nadzim pada sidang media selepas berjaya mencapai persetujuan dengan bank untuk menarik balik status muflis S pada Khamis. Turut hadir isteri S iaitu Nor (kiri).

KUALA LUMPUR: Rumah teres dua tingkat di Subang 2 yang berjaya dibeli rakyat prihatin, Lee Hui Sen dalam lelongan sepatutnya dilelong semula tiga hari lalu.

Bagaimanapun, sehari sebelum sesi lelongan itu dijadualkan berlangsung, pihak bank memutuskan  untuk membatalkannya dan bersetuju untuk menarik balik status muflis individu dikenali sebagai S iaitu pihak yang gagal melunaskan pinjaman secara gadaian dan menawarkannya penstrukturan semula pinjaman.

Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan Ketua  Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dengan pegawai bank berkenaan. Selain, Ahli Panel Pakar Penasihat Muamalat PPIM, Sheikh Abdul Kareem Khadaied dan penasihat undang-undang, Edward Lim.

"Kami berterima kasih kepada pihak bank kerana membantu menangani masalah ini dengan cara paling baik.

"Selepas menjelaskan kepada pegawai bank situasi yang dihadapi S dan isterinya, Nor, mereka telah memberi maklum balas yang baik dan juga penyelesaian.

"Malahan, kami juga menyediakan draf bank sebanyak RM44,500 menggunakan wang yang dipinjam daripada kawan untuk membida rumah itu sekirannya lelongan tetap akan diadakan," katanya pada sidang media, Khamis.

Dilaporkan, bulan lalu Hui Sen telah menghadiri sesi lelongan rumah yang ditarik oleh bank, beliau menyukai sebuah rumah teres dua tingkat dan membida sebanyak RM445,000 untuk rumah tersebut.

Beliau kemudiannya membayar deposit sebanyak 10 peratus kepada mahkamah tinggi untuk rumah tersebut.

Hui Sen kemudiannya pergi memeriksa keadaan rumah berkenaan.

Sebaik sahaja beliau melihat keluarga pemilik rumah itu masih tinggal di kediaman tersebut, beliau tidak sampai hati untuk mengambilnya daripada mereka.

Lelaki berhati mulia itu kemudiannya memutuskan untuk melepaskan wang deposit itu dan menyerahkan semula rumah tersebut kepada pemilik asalnya.

Peguam Hui Sen sudah menghantar notis pengosongan dan surat meminta pemilik asalnya yang hanya dikenali sebagai S, 47, dan isterinya Nor, 42, untuk keluar dari rumah tersebut.

S diisytiharkan muflis pada 2014 selepas gagal membayar pinjaman gadai janji.

Dalam sepucuk surat tulisan tangan kepada S, Hui Sen memaklumkan beliau tidak akan meneruskan pembelian rumah itu walaupun sudah membayar deposit sebanyak 10 peratus.

Nor berkata S telah membuat bayaran balik pinjaman selama hampir 20 tahun tetapi tidak tepat waktunya.

Pihak bank didakwa mengisytiharkan S sebagai muflis pada Jun 2014 tanpa pengetahuannya dan pada masa sama menawarkan penyusunan semula bayaran sebanyak RM350,000 bagi tempoh 25 tahun.

S dan Nor merupakan bekas pegawai bank sebelum mereka meletak jawatan masing-masing pada 2010 dan 2011 bagi memberi tumpuan kepada perniagaan mereka dalam sektor perkhidmatan.

Namun mereka berdepan masalah kewangan selepas perniagaan mereka jatuh.
PPIM, Nadzim Johan, lelong, Lee Hui Sen

Artikel Lain