suria

Suami Isteri Mengaku Tidak Bersalah Dakwaan Tipu Pelaburan Di Makkah, Madinah

JOHOR BARU: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas dakwaan penipuan pelaburan program Islamic Hotel di Makkah dan Madinah, dua tahun lalu.

Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 43, manakala isterinya Sofia Affendi, 42, masing-masing didakwa dengan dua pertuduhan, yang dibacakan di hadapan Majistret, Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Sheikh Saidey didakwa melakukan kesalahan menipu dan memperdaya seorang ahli perniagaan, Raja Farhana Raja Ali, 36, dengan menawarkan pelaburan pajak bilik hotel di Mekah dan Madinah, yang mana mangsa kemudiannya menyerahkan sekeping cek bernilai RM314,535.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan yang sama sehingga mangsa menyerahkan wang berjumlah RM282,616.73 kepada tertuduh.

Sheikh Saidey didakwa melakukan dua kesalahan tersebut di sebuah Restoran Remaja Bandar Baru Uda, Jalan Tampoi, pada bulan April 2015 antara pukul 8.30 hingga 11 malam.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun berserta sebatan malah boleh dikenakan denda.

Manakala, Sofia juga dituduh bersubahat dengan suaminya atas dua pertuduhan untuk memperdaya Raja Farhana berhubung program itu di lokasi dan waktu sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mahkamah sama.

Mohd Azlan Shah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM90,000 untuk setiap tertuduh dengan satu penjamin dan diarahkan untuk menyerahkan passport kepada mahkamah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Mohd Nasir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 7 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain