suria

Gigit Tangan Anggota Polis, Pengurus Didenda

KUALA LUMPUR: Gara-gara enggan memberi kerjasama dengan anggota polis semasa pemeriksaan sekatan jalan raya dan menggigit tangannya, seorang pengurus sebuah syarikat swasta didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa.

Majistret Mahyudin Mohamad Som turut memerintahkan tertuduh Ho Wei Onn, 40,  menjalani hukuman penjara tiga bulan jika dia gagal membayar denda.

Dia membayar denda.

Tertuduh mengaku menghalang Koperal Mohd Yusry Jilani daripada menjalankan tugasnya dengan enggan memberi kerjasama serta bertindak agresif dengan mengigit tangan kiri anggota polis berkenaan di KM3.9 Lebuhraya Sprint, di Brickfields, di sini, pada pukul 3 pagi, 7 Januari lepas.

Lelaki itu didakwa dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Menurut fakta kes, ketika sekatan jalan raya, tertuduh enggan memberi kerjasama kepada anggota polis dan mengeluarkan kata-kata kesat serta bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan tangan antara mereka sehingga tertuduh menggigit tangan kiri anggota polis berkenaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Zhafri Aminurashid memohoh hukuman denda minimum dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. - BERNAMA

sekatan jalan raya, PDRM

Artikel Lain