suria

Enam Ditahan Bantu Siasatan Kes Larikan Wanita Di Setapak

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Enam lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang wanita dilarikan tiga lelaki di luar sebuah kafe di pusat membeli belah di Setapak di sini Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata kesemua lelaki berusia antara 34 dan 54 tahun itu ditahan di sekitar Nilai, Negeri Sembilan, Batu Caves dan Bandar Kinrara, Selangor, antara pukul 1 pagi dan 7.30 pagi Selasa.

"Motif kejadian masih dalam siasatan dan polis juga telah mengambil keterangan daripada individu yang menyewakan kereta jenis Toyota Alphard kepada suspek yang digunakan ketika melarikan wanita terbabit," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Rusdi berkata pemeriksaan lanjut ke atas keenam-enam lelaki yang bekerja sendiri itu mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Wanita berusia 26 tahun itu secara tiba-tiba ditarik tiga lelaki tidak dikenali ke dalam kereta tersebut pada pukul 10.20 pagi sebelum dibebaskan di satu kawasan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada 5.30 petang setelah dua telefon bimbitnya diambil.

Menurut Rusdi, kes disiasat mengikut Seksyen 365 dan 395 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melakukan rompakan berkumpulan. - BERNAMA

DUKE, PDRM, Setapak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain